Khamis, 30 Mei 2024 | 7:50am

Industri perlu ubah stigma, usah pandang rendah kelayakan graduan TVET

Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia dirumus untuk memenuhi keperluan pembangunan negara dan memastikan tenaga kerja tempatan dilengkapi kemahiran diperlukan dalam pasaran kerja global.

Ia bertujuan untuk memastikan penyelarasan antara pelbagai agensi yang terbabit dalam TVET, manakala program ditawarkan relevan dengan keperluan industri dan berupaya memacu ekonomi negara.

Dasar TVET Malaysia juga menekankan kepentingan kerjasama dengan industri untuk memastikan kurikulum dan latihan ditawarkan relevan dengan keperluan pasaran kerja. Program latihan industri dan magang adalah komponen penting dalam TVET.

Bagaimanapun, tinjauan Gaji Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk Eksekutif 2023 membabitkan 262 syarikat swasta mendapati hanya 39.6 peratus daripada syarikat mengambil graduan TVET sebagai tenaga kerja, lebih separuh majikan tidak terbabit dalam pengambilan pekerja dalam graduan berkenaan.

Hal ini boleh menjadi tamparan kepada kerajaan, Jawatankuasa Majlis TVET Negara dan institusi TVET itu sendiri mengapa majikan tidak komited mengambil graduan TVET untuk bekerja sedangkan kualiti pendidikan dan pengajaran memenuhi piawaian antarabangsa.

Namun, agak sulit untuk menyimpulkan faktor majikan kurang mengambil graduan TVET bekerja, tetapi berdasarkan laporan dibangkitkan sebelum ini, banyak majikan mengutamakan calon mempunyai pengalaman kerja berbanding muka baharu. Graduan TVET mungkin dilihat kurang pengalaman diperlukan majikan.

Foto hiasan
Foto hiasan

Bahkan, tidak dinafikan sesetengah majikan skeptikal dengan kualiti pendidikan dan latihan diterima graduan TVET atau kurang pengetahuan dengan perkembangan terkini dalam program TVET. Ada juga majikan enggan mengambil graduan TVET dengan harapan tidak perlu membayar gaji tinggi, sebaliknya cenderung mengambil pekerja 'kosong' kemahiran untuk mengurangkan kos upah.

Sementara itu, kemahiran diajar dalam program TVET mungkin tidak memenuhi selera dan keperluan industri, sekali gus menyebabkan berlaku ketidakpadanan kemahiran dengan kemahiran khusus diperlukan majikan. Bermakna, stigma dan persepsi negatif industri ini perlu dipecahkan.

Hakikatnya, sijil TVET diiktiraf agensi dan badan pengiktirafan di Malaysia seperti Malaysian Quality Accreditation (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan badan profesional mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan (NOSS) yang diiktiraf.

Negara juga bakal mempunyai Dasar TVET Negara 2030 dilancarkan 7 Jun ini, digubal bukan sahaja untuk melahirkan graduan kemahiran berkualiti dan memenuhi kehendak industri, tetapi mampu mengisi keperluan pasaran pekerja dengan berkemahiran tinggi.

Bermakna, pendidikan TVET negara tiada kekurangan yang signifikan di sebalik momokan pesimis sesetengah majikan, mungkin promosi mengenai kualiti dan penarafannya perlu dipertingkatkan lagi untuk mengubah persepsi terbabit.

Pada masa sama, kolaborasi institut TVET dan industri perlu ditingkatkan lagi menerusi pelbagai program, skim serta insentif sebagai galakkan kepada majikan mengambil graduan TVET bekerja. Graduan juga perlu lebih kreatif, inovatif dan memperkukuh diri dengan kemahiran insaniah yang mampu menarik minat majikan mengambil bekerja.

Berita Harian X