Rabu, 29 Mei 2024 | 10:21pm
Isu pengiktirafan siswazah kardiotorasik dan tuduhan membuka UiTM kepada bukan Bumiputera ialah dua isu yang berbeza. - Foto hiasan
Isu pengiktirafan siswazah kardiotorasik dan tuduhan membuka UiTM kepada bukan Bumiputera ialah dua isu yang berbeza. - Foto hiasan

Kemelut 'Parallel Pathway' dimuktamad Rabu depan - Zambry

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri akan membincangkan secara lebih terperinci isu 'Parallel Pathway' akan mesyuarat pada Rabu minggu depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata beliau sudah memberi taklimat awal kepada Kabinet hari ini bagi program yang ditawarkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu.

Katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kini berada di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 di Geneva akan membentangkan cadangan menyeluruh dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Selain UiTM yang menjalankan Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik) - (Parallel Pathway), universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM) sedang dalam proses mendapatkan perakuan akreditasi untuk program yang sama sebelum ditawarkan.

"Isu pokok yang timbul berkaitan dengan kemelut Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau 'Parallel Pathway' dalam bidang pembedahan kardiotorasik ialah isu pengiktirafan latihan kepakaran 'Parallel Pathway' yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kedua, isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran 'ParallelPathway' dalam Daftar Pakar (National Specialist Register – NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC)," katanya.

"Isu pengiktirafan siswazah kardiotorasik dan tuduhan membuka UiTM kepada bukan Bumiputera ialah dua isu yang berbeza.

"Terdapat kumpulan yang cuba mengambil kesempatan sehingga menuduh UiTM bersikap 'apartheid' sedangkan isu utama ialah tiada pengesahan dan pengiktirafan daripada kepada kumpulan pelajar ini," katanya.

Antara cadangan penyelesaian, Zambry berkata, Kementerian Kesihatan akan meminda akta berkaitan bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuklah mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran 'Parallel Pathway'.

Beliau berharap usaha dan komitmen Kerajaan MADANI dapat menghasilkan penyelesaian menyeluruh demi kepentingan negara dan rakyat.

Berita Harian X