Rabu, 29 Mei 2024 | 4:11pm
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya. Foto NSTP Mohd Fadli Hamzah
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya. Foto NSTP Mohd Fadli Hamzah

Pindaan undang-undang selesai isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran

PUTRAJAYA: Beberapa pindaan mungkin akan dibuat terhadap undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan kemelut isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau 'Parallel Pathway'.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pandangan dari segi perundangan itu dimaklumkan Pejabat Peguam Negara kepada Jemaah Menteri hari ini.

"Pihak Pejabat Peguam Negara sudah memberi beberapa pandangan dari segi perundangan dan Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada.

"Ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan. Jadi belum diputuskan tetapi ada perkembangan dan kertas (Kabinet) yang dimaksudkan akan dibawa minggu depan," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Cadangan itu menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk mahasiswa UiTM dan alumni kerana menegaskan universiti itu hanya untuk Bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dilaporkan berkata buat masa ini tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM di peringkat kementerian mahu pun Kabinet.

Ditanya apa undang-undang akan dipinda bagi menyelesaikan isu berkenaan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu masih belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

"Perlu tunggu pembentangan kertas (Kabinet) minggu depan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seperti yang dijelaskan Zambry, terdapat salah faham dalam kalangan ramai membabitkan isu berkenaan.

Katanya, beberapa pihak termasuk UiTM dan bekas Naib Canselornya sudah diberikan penjelasan berhubung perkara itu.

"Ada sedikit salah faham dalam khalayak umum kerana dimaklumkan sebelum ini bukan untuk membuka bagi tujuan pendidikan tetapi bagi 'housemanship' di Hospital UiTM.

"Itu yang dimaksudkan dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kerana apabila isu itu dibangkitkan, ia seolah-olah ada kaitan tetapi sebenarnya perkara berbeza," katanya.

Berita Harian X