Selasa, 28 Mei 2024 | 11:45pm
Program TVET MARA menawarkan latihan kemahiran sehingga ke peringkat tertinggi. - Foto BH
Program TVET MARA menawarkan latihan kemahiran sehingga ke peringkat tertinggi. - Foto BH

Pelajar tak duduki SPM boleh ke GiatMARA - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dipelawa memohon latihan di GiatMARA.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata 10,160 pelajar yang tidak hadir SPM tahun lalu boleh mengikuti program di 232 cawangan GiatMARA seluruh negara.

Katanya, program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan latihan kemahiran sehingga ke peringkat tertinggi.

"GiatMARA juga telah mengenal-pasti bidang-bidang baharu yang diperlukan di pasaran termasuk bidang berteknologi tinggi seperti Artificial Intelligence (kecerdasan buatan), IOT, Robotik, Electrical Vehicle (EV), Renewable Energy Vehicle (REV) dan banyak lagi," katanya media sosial.

Beliau berkata, program TVET MARA dijalankan dengan kerjasama rapat dengan penggiat industri agar tenaga mahir yang dilatih di GiatMARA terjamin peluang pekerjaan.

"GiatMARA sedang membuat kajian secara holistik semua programnya agar berdaya maju dan mampu menyediakan tenaga mahir mengikut piawaian pasaran dan industri di peringkat antarabangsa.

"Setiap manusia dijadikan Allah punya kekuatan tersendiri. Yang kurang cemerlang dari segi akademik yang berorientasikan membaca dan peperiksaan bertulis, boleh cemerlang dalam bidang kemahiran seperti bidang TVET," katanya.

Asyraf berkata, langkah itu selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara untuk memastikan TVET menjanjikan gaji premium kepada anak muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa depan.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan mendedahkan sejumlah 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Berita Harian X