Selasa, 28 Mei 2024 | 5:02pm
Zambry (empat, kanan) bersama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari (empat kiri) dan Penulis dan Penyusun Buku Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, Professor Emeritus Dr Abdullah Hassan (duduk hadapan) bergambar bersama selepas Majlis Pelancaran Buku Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka di Dewan Tun Hussein Onn, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. - Foto BERNAMA
Zambry (empat, kanan) bersama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari (empat kiri) dan Penulis dan Penyusun Buku Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, Professor Emeritus Dr Abdullah Hassan (duduk hadapan) bergambar bersama selepas Majlis Pelancaran Buku Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka di Dewan Tun Hussein Onn, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. - Foto BERNAMA

KPT tawar kerjasama bersama DBP, tingkat penerbitan karya ilmiah universiti tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dalam meningkatkan penerbitan karya ilmiah oleh universiti tempatan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata kerjasama itu, untuk mempergiatkan aktiviti penerbitan karya ilmiah yang dilihat berkurangan ketika ini.

"Apa yang berlaku ketika ini, universiti terlalu mengejar ranking sehingga menyebabkan tumpuan menerbitkan karya ilmiah saya lihat ada sedikit kekurangan, disebabkan masing-masing nak dapatkan tempat pengiktirafan daripada penerbitan luar.

"Di sini seolah olah ada sedikit kelesuan di peringkat penerbitan karya ilmiah hasil tempatan. Jadi saya ingin melihat supaya usaha penerbitan karya ilmiah dipertingkatkan dan dijadikan penanda aras buat universiti dan juga tenaga pengajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melancarkan buku siri pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu terbitan DBP disini, hari ini.

Buku yang dilancarkan itu bertujuan untuk memperkasakan lagi bahasa itu melalui pelbagai saluran penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Sebanyak 10 buku siri pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dilancar hari ini, antaranya Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, Bahasa Melayu Tinggi, Semantik, Sosiolinguistik, Morfologi dan Sintaksis.

Semua buku ini mematuhi hukum tatabahasa bahasa Melayu yang lengkap, selain turut disertakan strategi dan kaedah pengajaran bahasa itu untuk dijadikan panduan bagi pelajar, guru dan pensyarah.

Dalam pada itu, Zambry ketika diminta mengulas berkenaan buku itu, beliau berkata penghasilan buku yang berteraskan pengajaran dalam bahasa Melayu itu amat penting, dalam usaha meningkatkan penghayatan dalam kalangan pengajar dan pelajar pada peringkat pengajian tinggi.

"Saya ucapkan tahniah kepada DBP kerana meneruskan usaha untuk menerbitkan karya-karya ilmiah, khususnya dalam konteks bahasa Melayu yang memerlukan banyak kajian supaya rakyat dapat memanfaatkan daripada hasil kajian ilmiah yang dibuat," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X