Selasa, 28 Mei 2024 | 3:12pm
Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM), Tan Sri Azam Baki (tengah) majlis pelancaran Antologi Puisi Cerita Bawah Meja di PBAKL 2024 hari ini. Turut serta Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto ROHANIS SHUKRI
Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM), Tan Sri Azam Baki (tengah) majlis pelancaran Antologi Puisi Cerita Bawah Meja di PBAKL 2024 hari ini. Turut serta Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto ROHANIS SHUKRI

Antologi Puisi Antirasuah Cerita Bawah Meja dilancar di PBAKL

KUALA LUMPUR: Naskhah Antologi Puisi Antirasuah Cerita Bawah Meja yang mengangkat tema kesedaran mengenai jenayah rasuah dilancarkan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Karya terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) itu menghimpunkan 106 puisi nukilan penyair prolifik tanah air dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata usaha itu wajar dipuji kerana kolaborasi badan terbabit dengan kumpulan penulis jarang dilaksanakan.

"SPRM memberi sokongan penuh kepada GAPENA yang menerbitkan antologi puisi ini, ia tentunya usaha amat baik kerana menghimpunkan gabungan puisi dihasilkan penyair yang arif dalam bidang penulisan.

"Melalui buku ini, ia menjadi platform luahan penggiat puisi mengenai pencegahan rasuah. Perkara ini jarang berlaku, apatah lagi pandangan mereka mengenai isu rasuah diterjemahkan dalam bentuk puisi," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Antologi Puisi Antirasuah Cerita Bawah Meja di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Hadir sama, Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron.

Azam turut berkata, penerbitan naskhah itu diharap dapat mendidik masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan dalam membanteras rasuah.

"Melalui karya sebegini, ia dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai termasuk saya sendiri, ahli politik dan pegawai kerajaan bahawa (mereka) mempunyai tanggungjawab dan kepada rakyat, khususnya menghindarkan diri daripada rasuah.

"Saya juga bersetuju yang kita perlu menyemarakkan lagi dunia sajak dan puisi, malah saya sendiri akan ambil langkah untuk menyemarakkan (puisi) di SPRM.

"Saya juga berpandangan penulis pada masa ini perlu memanfaatkan teknologi dan media sosial sebaiknya, Misalnya gunakan TikTok untuk promosikan karya yang baik seperti ini," katanya.

Karya terbitan GAPENA itu menampilkan gabungan penulis prolifik termasuk bekas Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan menerusi sajak Jihad Memerangi Rasuah,Sasterawan Negara Ke-15, Datuk Rahman Shaari yang menyumbangkan sajak Pekat Melekit dan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) tahun 2000, Dr Lim Swee Tin (Yang Mengikut Rentak).

Berita Harian X