Selasa, 28 Mei 2024 | 11:54am
Profesor Dr Noor Hassim Ismail
Profesor Dr Noor Hassim Ismail

KKM dan KPT diminta atasi isu kekurangan pakar perubatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu melihat semula matlamat dan peranan utama masing-masing berhubung isu kekurangan pakar perubatan dalam bidang tertentu termasuk isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau 'parallel pathway'.

Ketua Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan, Profesor Dr Noor Hassim Ismail berkata, matlamat asal KKM adalah untuk merawat dan mengawal penyakit manakala KPT menguruskan dan memantau aktiviti institusi atau universiti untuk pendidikan dan membuat kajian.

Beliau berkata, isu parallel pathway adalah isu pendidikan tinggi di dalam bidang perubatan, justeru kedua-dua kementerian ada peranan masing-masing.

"Kerajaan sudah menetapkan sejak 1980 kerjasama KKM dan badan profesional yang diwakili oleh Akademi Perubatan. Masalah berlaku apabila KKM ingin mengambil alih tanggungjawab sebagai pengendali pendidikan tinggi berbanding universiti dan bersengkongkol dengan agensi dalam dan luar negara.

"Takkanlah kita mahu wujudkan dua sistem yang mana program universiti tempatan perlu patuh undang - undang untuk mendapatkan pengiktirafan manakala program pendidikan universiti luar negara yang tidak diterima di negara asal boleh terus disahkan sebagai pakar tanpa melalui proses yang sama seperti universiti tempatan," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas isu paralel pathway - yang menyebabkan KKM kini mahu meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menangani jurang antara Program Parallel Pathway (PPP) dan Program Sarjana Perubatan tempatan biarpun mendapat bantahan sesetengah pihak.

Sebelum ini, dilaporkan UiTM bersetuju membuka laluan 'sementara' kepada pelatih bukan Bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang pembedahan kardiotoraks di universiti berkenaan.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.

Namun, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM di peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, juga menegaskan bahawa pengambilan sedia ada adalah kekal dan tiada perbincangan di peringkat Senat mahupun Mesyuarat Universiti berhubung kemasukan pelajar bukan Melayu ke universiti itu.

Dr Noor Hassim yang juga pakar perubatan am berkata KPT sebagai penguatkuasa undang-undang mengiktiraf program kepakaran kini dilihat berdiam diri.

"Adakah ini kerana kesalahan dibuat oleh kawan mereka ( KKM) berhubung isu ini? Semua perlu patuh kepada peraturan dan undang-undang sedia ada dan syarat Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk dapatkan akreditasi penuh untuk membolehkan didaftar dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) supaya diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam dan masuk dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR)," katanya.

Dr Noor Hashim berkata, masalah timbul apabila tidak ada kesungguhan daripada KPT dan KKM untuk menjalankan tugas masing-masing.

Beliau juga setuju bahawa ramai yang tidak mahu menjadi pakar bedah kardiotoraks dan lebih suka kerja di sektor swasta kerana tawaran gaji lebih lumayan dan tidak dibeban dengan tugas kajian dan penerbitan di universiti.

Berita Harian X