Isnin, 27 Mei 2024 | 11:43pm
Pesawat Boeing Singapore Airlines penerbangan SQ321 melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok selepas dilanda gelora udara ekstrem dalam perjalanan dari London ke Singapura, 22 Mei lalu. - FAIL AFP
Pesawat Boeing Singapore Airlines penerbangan SQ321 melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok selepas dilanda gelora udara ekstrem dalam perjalanan dari London ke Singapura, 22 Mei lalu. - FAIL AFP

'Ahli keluarga saya masih dalam kesakitan, tak boleh tidur'

BANGKOK: "Ahli keluarga saya masih dalam kesakitan, dan ada yang masih tidak dapat melelapkan mata di malam hari," kata seorang rakyat Malaysia, Eva Khoo.

Adik Eva dan ahli keluarganya adalah penumpang penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang mengalami gelora udara ekstrem secara tiba-tiba, Selasa lalu.

Keadaan itu menyebabkan juruterbang pesawat melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini.

Eva, 47, seorang pakar acara dari Pulau Pinang berkata, adiknya Khoo Boo Leong, 38, dan keluarga isterinya dalam lawatan berkumpulan selama 10 hari di Eropah dan memutuskan untuk menyambung perjalanan ke London sebelum pulang ke Malaysia dengan SIA.

"Adik saya terpelanting dari tempat duduknya, menyebabkan kepalanya terhantuk pada kompartmen bagasi di bahagian atas sebelum jatuh ke lorong laluan ketika pesawat mengalami gelora udara.

"Keadaannya tidak begitu baik sejak dimasukkan ke hospital, dan dia menjalani ujian penglihatan hari ini selepas melihat warna berbeza, dengan warna gelap kelihatan lebih cerah," katanya kepada BERNAMA ketika ditemui di Hospital Samitivej Srinakarin di sini, hari ini.

Eva berkata, adik iparnya Saw Rong, 33, yang hamil dua bulan tidak dapat tidur selama beberapa hari kerana kesakitan dan doktor menjelaskan beliau mengalami kecederaan pada tulang belakang T5 yang menghubungkan banyak saraf dan mungkin menyebabkan lumpuh kekal jika tidak dirawat dengan betul.

"Jumaat lalu, dia (Saw Rong) akhirnya bersetuju untuk menjalani pembedahan tulang belakang selepas menolak untuk melindungi bayinya.

"Dia (Saw Rong) telah berjaya menjalani pembedahan tulang belakang tetapi masih dalam kesakitan kerana enggan mengambil ubat atau penahan sakit kerana tidak mahu membahayakan bayinya," katanya.

Walaupun pasangan itu kini boleh mengambil makanan lembut, Eva berkata Boo Leong belum boleh berjalan seperti biasa manakala Saw Rong masih perlu memakai alat sokongan dan mula berjalan dengan bantuan peralatan perubatan.

"Saya berada di sini untuk membantu mereka sejak Rabu lalu dan seluruh ahli keluarga serta rakan-rakan di Malaysia berdoa untuk pemulihan mereka yang cepat," katanya.

Eva berkata, keluarga Saw Rong juga berada di dalam SQ321 termasuk bapa, Saw Kwang Chye; ibu saudara, Saw Ai Hwa; sepupu perempuan Geh Yi Wei, sepupu lelaki Geh Yi Shen dan rakan keluarga, Ko It Tze.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, berkata sehingga petang 26 Mei, 10 rakyat Malaysia daripada penerbangan SQ321 sedang dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan Hospital Samitivej Sukhumvit.

Beliau berkata dua orang sudah dibenarkan keluar dan seorang kini berada di wad biasa di Hospital Samitivej Sukhumvit, manakala enam lagi rakyat Malaysia masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin.

Penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 kru sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia mengalami gelora udara ekstrem secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan, dan pesawat Boeing 777-300ER itu dilencongkan an ke Bangkok, mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan pada Selasa.

Kejadian itu mengakibatkan satu kematian dan sejumlah penumpang cedera. Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata mangsa yang maut merupakan seorang lelaki British berusia 73 tahun. – BERNAMA

Berita Harian X