Isnin, 27 Mei 2024 | 3:37pm
Muhammad Izwan Hanif bersama bapa gembira dan bersyukur atas keputusan SPM 2023 yang diperolehnya. - NSTP/AMIR HAMZAH NORDIN
Muhammad Izwan Hanif bersama bapa gembira dan bersyukur atas keputusan SPM 2023 yang diperolehnya. - NSTP/AMIR HAMZAH NORDIN

SPM 2023: Anak pemandu lori catat A semua 10 subjek

JERANTUT: Anak kepada seorang pemandu lori pembekal ais di sekitar bandar ini berjaya mencatat keputusan cemerlang Gred A dalam kesemua 10 mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang didudukinya.

Calon daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inderapura, di sini, Muhammad Izwan Hanif Ielaham, 18, memperoleh keputusan A+ dalam enam mata pelajaran membabitkan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Tasawwur Islam.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga meraih keputusan A dalam mata pelajaran Kimia, Fizik dan Sains Komputer, serta A- bagi Matematik Tambahan.

Berkongsi resipi kejayaan, Muhammad Izwan Hanif berkata, antara penekanannya ialah memberi sepenuh fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kelas, bersikap menghormati guru, konsisten melakukan ulang kaji serta menghadiri kelas tambahan.

"Saya juga berbincang mengenai pelajaran dengan rakan sekolah, termasuk pada waktu senggang ketika cuti sekolah sama ada di rumah saya atau kawan. Ia dapat membantu menguatkan lagi ingatan saya terhadap ilmu pelajaran. Saya turut ke perpustakaan untuk membuat ulang kaji.

"Selain itu, pembabitan dalam kegiatan kokurikulum turut membantu membentuk keperibadian dan meningkatkan keyakinan diri saya," katanya yang berpengalaman mewakili daerah Jerantut ke pertandingan bahasa Inggeris dalam acara 'Story Telling' dan 'Spelling' peringkat negeri.

Bukan itu saja, Muhammad Izwan Hanif menjadikan kakaknya yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan undang-undang, sebagai sumber inspirasi.

"Saya bercita-cita menjadi guru sebagai satu ibadah menyampaikan ilmu kepada anak bangsa," katanya.

Sementara itu bapanya, Ielaham Hissin, 54, berkata seluruh keluarga mereka gembira dan bersyukur atas kejayaan Muhammad Izwan Hanif.

Berita Harian X