Ahad, 26 Mei 2024 | 5:38pm
Tuanku Syed Faizuddin bersama Raja Puan Muda Perlis berkenan menanam Pokok Merbau iaitu pokok yang ke sejuta pada perasmian Nakawan Rainforest Festival hari ini. - BERNAMA
Tuanku Syed Faizuddin bersama Raja Puan Muda Perlis berkenan menanam Pokok Merbau iaitu pokok yang ke sejuta pada perasmian Nakawan Rainforest Festival hari ini. - BERNAMA

Nakawan Rainforest Festival tonjol keunikan Perlis Geopark

KANGAR: Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) dengan kerjasama kerajaan negeri menganjurkan program Nakawan Rainforest Festival selama tiga hari bermula Jumaat lalu sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri tahun ini.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan kemuncak program itu di Dataran Pejabat Hutan Daerah Perlis Selatan, Kawasan Ekopelancongan Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr Ching Thoo a/l Kim dan Pengarah Jabatan Perhutan Perlis Awang Shaffie Awang Ahmadni.

Mohd Shukri dalam ucapannya berkata sambutan hari hutan peringkat negeri tahun ini diadakan bersama jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan bagi mengisi kalendar Tahun Melawat Perlis Tahun 2024-2025, menampilkan kelainan dengan membawa konsep Nakawan Rainforest Festival.

"Konsep ini diambil sempena nama banjaran Nakawan iaitu banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia sepanjang 36 kilometer (km) yang terbentuk daripada batu kapur formasi 'Setul' yang berusia lebih 480 juta tahun.

"Pemilihan nama Nakawan amat signifikan kerana ia komponen terpenting bagi Perlis Geopark yang diiktiraf Geopark Kebangsaan pada 9 November 2023," katanya.

Tuanku Syed Faizuddin diiringi Raja Puan Muda Perlis berkenan melancarkan Buku Orchids of Perlis: The Matchless Gems of The State Parks' pada perasmian Nakawan Rainforest Festival hari ini. - BERNAMA
Tuanku Syed Faizuddin diiringi Raja Puan Muda Perlis berkenan melancarkan Buku Orchids of Perlis: The Matchless Gems of The State Parks' pada perasmian Nakawan Rainforest Festival hari ini. - BERNAMA

Beliau berkata, sebahagian besar geotapak berada di banjaran Nakawan antaranya Geotapak Bukit Ayer, Gua Kelam, Bukit Kubu dan Taman Negeri Perlis, maka aspek kesedaran serta pengetahuan umum mengenai usaha pemeliharaan itu perlu dipertingkat melalui kempen kesedaran.

"Sepanjang Nakawan Rainforest Festival ini, terdapat pelbagai aktiviti menarik secara percuma antaranya penanaman pokok, Jelajah Perpaduan Kayuhan Hijau, Kem Biodiversiti, Bengkel Sayangi Hutan, Bengkel Peralatan Muzik Tradisional dan denai interpretasi serta jualan pokok ubat-ubatan," katanya.

Pada majlis perasmian itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan acara penanaman pokok iaitu spesies Merbau (Instia palembanica).

Sementara itu, JPNPs dalam kenyataan media sempena perasmian itu memaklumkan pokok merbau adalah Pokok Kebangsaan Malaysia sebagai lambang keutuhan integriti hutan negara, hasil daripada pengurusan secara mampan serta usaha pemuliharaan khazanah biodiversiti Malaysia.

"Pokok merbau boleh dijumpai secara meluas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak terutamanya di pinggir sungai dalam hutan tanah pamah sehingga altitud 1,000 meter (m)," menurut kenyataan itu.

Berita Harian X