Ahad, 26 Mei 2024 | 2:17pm
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bersama Sasterawan Negara, Datuk Dr Siti Zainon Ismail (tiga, kanan) melancarkan buku ‘Yasmin dan Adam’ pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bersama Sasterawan Negara, Datuk Dr Siti Zainon Ismail (tiga, kanan) melancarkan buku ‘Yasmin dan Adam’ pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

PBAKL: 'Yasmin dan Adam' angkat isu anak autisme

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini melancarkan buku bertajuk 'Yasmin dan Adam', idea asal Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang bertujuan mengangkat isu kesedaran dan keperluan pendidikan kanak-kanak autisme.

Naskhah berkenaan dihasilkan penulis dan ilustrator muda, Nurshuhada Abdullah.

Buku bergambar padat dengan pelbagai ilustrasi itu disasar untuk bacaan murid prasekolah, khususnya dalam kalangan murid pendidikan khas.

Fadhlina berkata, idea asal penghasilan naskhah itu tercetus setahun lalu, selari agenda Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan khusus kepada murid berkeperluan khas.

"Idea menghasilkan buku ini tercetus untuk memastikan anak-anak berkeperluan khas mendapat sokongan penuh dalam bidang pendidikan, selain membina kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenainya.

"Buku ini menterjemahkan bagaimana mereka (anak-anak istimewa) sepatutnya diberi tempat khususnya dalam pendidikan, selain perlunya tumpuan terhadap mereka dalam kalangan masyarakat," katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Buku 'Yasmin dan Adam' dan Sesi 'Ceritalah Lagi Bersama YB Fadhlina Sidek' di Pentas Utama Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Sasterawan Negara, Datuk Dr Siti Zainon Ismail. Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.

Fadhlina turut mengabadikan nama anaknya, Yasmin yang berusia tujuh tahun sebagai judul naskhah berkenaan.

"Yasmin adalah nama anak bongsu saya. Saya fikir beliau banyak memberikan inspirasi dalam umurnya yang sebegitu, apatah lagi beliau sangat rapat dengan saya.

"Adam pula nama biasa yang kita jumpa dalam kelas (di sekolah), jadi kerana itu ia diabadikan dalam naskhah ini.

"Buku ini juga lahir dengan hasrat untuk memperkukuh budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak seawal usia peringkat prasekolah, malah ia sangat sesuai untuk murid berkeperluan khas yang sangat dekat di hati saya dengan penumpuan dari segi kandungannya disemak sendiri di peringkat KPM," katanya.

Karya itu dihasilkan penulis dan ilustrator muda, Nurshuhada Abdullah.

Mengulas sambutan pengunjung pada PBAKL 2024 yang berlangsung sejak Jumaat lalu, Fadhlina berkata, jumlah pengunjung amat memberangsangkan manakala fenomena kehadiran luar biasa pengunjung muda turut mengujakan.

"Saya dimaklumkan hari pertama PBAKL mencapai 140,000 orang, hari kedua 200,000 dengan lebih 70 peratus kehadiran dalam kalangan anak muda.

"Fenomena ini sangat baik, ia bermakna masyarakat masih terikat dengan buku, masih membaca dan ada peningkatan jumlah buku dibaca secara tahunan iaitu daripada 14 kepada 24 buku setahun.

"Ini menunjukkan ciri-ciri bangsa berjaya, bangsa membaca dan kita berharap kemeriahan ini berterusan," katanya.

Berita Harian X