Ahad, 26 Mei 2024 | 10:09am
Dr Siti Umairah sedang menyemak rekod pesakit sambil dibantu Juruterapi Pergigian, Nur Syuhana Samsudin dan Pembantu Pembedahan Pergigian, Meor Al Hafiz Meor Abd Halim di Unit Pergigian Pusat Rawatan TH Makkah. - Foto Husain Jahit
Dr Siti Umairah sedang menyemak rekod pesakit sambil dibantu Juruterapi Pergigian, Nur Syuhana Samsudin dan Pembantu Pembedahan Pergigian, Meor Al Hafiz Meor Abd Halim di Unit Pergigian Pusat Rawatan TH Makkah. - Foto Husain Jahit

'Merawat dengan senyuman'

MAKKAH: Unit Pergigian Pusat Rawatan TH Makkah sudah merawat lebih 40 pesakit walaupun seminggu dibuka dengan kekuatan tiga kakitangan.

Pegawai Pergigiannya, Dr Siti Umairah Razali, 33, ramai pesakit yang datang meminta rawatan menampal semula gigi kerana tampalan yang lama tertanggal akibat makan benda-benda keras seperti kekacang dan buah-buahan.

"Kebanyakan jemaah tidak sedar apa yang mereka makan menyebabkan tampalan terbuka. Ada juga gigi sudah goyang dan bila sampai sini pesakit penat berjalan dan ia menyebabkan sakit bertambah dekat gigi.

"Selain itu mereka datang untuk rawatan ulser dan penskaleran. Namun, kami sentiasa bersedia untuk rawatan lain termasuk mencabut gigi dan merawat sekiranya ada jemaah yang jatuh tersembam hingga menyebabkan kecederaan di bahagian mulut," katanya.

"Ada juga yang demam apabila sampai di sini. Apabila diperiksa oleh doktor, mendapati dalam mulut ada gigi yang rosak. Jadi kita beri rawatan yang diperlukan," katanya lagi yang petah bercerita sambil melayani pesakit.

Dr Siti Umairah merawat gigi pesakit. - Foto NSTP/Husain Jahit
Dr Siti Umairah merawat gigi pesakit. - Foto NSTP/Husain Jahit

Unit Pergigian yang diwujudkan di setiap musim haji sejak 2014 itu dibuka setiap hari dengan tiga waktu operasi iaitu dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, 4.30 petang hingga 6.30 petang dan dari jam 8 malam hingga 10 malam.

"Tapi kita galakkan jemaah yang hendak membuat rawatan supaya membuat temu janji terlebih dulu untuk memudahkan urusan penjadualan dan penyediaan kenderaan," katanya.

Menurut pegawai pergigian kesembilan yang dapat bertugas di Tanah Suci itu, bagaimanapun beliau sentiasa bersedia (on call) untuk tugasan selepas jam 10 malam jika kes seperti trauma yang memerlukan perkhidmatan kami.

"Di sini saya dibantu oleh seorang Pembantu Pembedahan Pergigian dan seorang Juruterapi Pergigian yang kesemuanya kali pertama bertugas di Tanah Suci. Hanya kami bertugas pada sepanjang musim haji tahun ini untuk berkhidmat kepada 31,600 jemaah," katanya.

Mengenai perbezaan bekerja di Makkah dengan tanah air, Dr Siti Umairah berkata, ia sama sahaja kerana sudah biasa bertugas di bahagian primer dan di sini umpama rawatan primer diberikan kepada pesakit yang datang.

"Cuma ada sedikit kekangan dari segi perkakasan dan bahan pergigian. Kami terpaksa membeli di sini seperti bahan tampalan dan ubat bius. Kadangkala ia menjadi masalah kerana ada yang tidak sesuai dengan rakyat Malaysia," katanya yang tidak menafikan mengenai kos yang juga tinggi.

Dr Siti Umairah yang bertugas di Hospital Sungai Besar, Selangor, berkata kebiasaannya beliau merawat lima atau enam jemaah sehari dan dikatakan berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana kebanyak jemaah sudah tahu bahawa mereka perlu dapatkan rawatan gigi sebelum datang ke sini.

Berita Harian X