Sabtu, 25 Mei 2024 | 5:13pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Yayasan Bank Rakyat peruntukkan RM100,000 Program Tuisyen Rakyat di Melaka

MELAKA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM100,000 bagi menjalankan Program Tuisyen Rakyat di Melaka pada tahun ini.

Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani, berkata program berkenaan membabitkan 10 sekolah menengah kebangsaan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin dalam usaha membantu pelajar golongan B40 dan kurang berkemampuan mendapat kelas tuisyen percuma.

"Program Tuisyen Rakyat memberi tumpuan kepada pelajar yang hendak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan kelas tambahan percuma," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Penyerahan peruntukan Program Tuisyen Rakyat itu dilakukan semasa Program Future Tech dua hari lalu yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan negeri. Mohd Ghazali Ahmad.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, Program Future Tech dilaksanakan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, dengan pendidikan digital harus didedahkan kepada pelajar seawal sekolah rendah bagi memastikan penguasaan ilmu berteraskan digital dapat dimaksimumkan.

Beliau berkata, sebagai contoh program yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berunsurkan robotik bertepatan dengan perubahan teknologi yang semakin berkembang pesat serta bertepatan dengan Revolusi Industri 4.0 di negara ini.

"YBR amat menitikberatkan pendidikan dan melalui program ini diharap pelajar mendapat sedikit pendedahan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta menambah minat mereka dalam pengaturcaraan robotik, dron dan solar," katanya.

Beliau berkata, Program Future Tech yang berlangsung tiga hari dua malam itu disertai 270 pelajar dan 20 guru di sekitar negeri itu dalam usaha meningkatkan kemahiran asas robotik serta mengingtegrasikan teknik pengaturcaraan melalui konsep tenaga lestari. - BERNAMA

Berita Harian X