Sabtu, 25 Mei 2024 | 4:44pm
Zulkifli menyampaikan ucapan ketika hadir pada majlis perasmian Konvensyen Dakwah dan Tarbiah Kelantan 2024 di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zulkifli menyampaikan ucapan ketika hadir pada majlis perasmian Konvensyen Dakwah dan Tarbiah Kelantan 2024 di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

'Dapatan awal RUU 355 sudah dibuat, perlu diperinci'

KOTA BHARU: Laporan dan dapatan awal mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) sudah dibuat, namun perlu diperincikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata sehingga kini, perkembangan mengenai RUU 355 juga masih di peringkat libat urus bersama pihak berkaitan.

"Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah bermesyuarat dan menyediakan laporan, malah sudah ada laporan-laporan dapatan awal.

"Namun begitu, ia akan dimurnikan dan jawatankuasa terbabit akan menyediakan laporan itu kepada MKI (Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam) dan sekarang ini di peringkat perbincangan serta libat urus dengan pihak-pihak berkaitan.

"Seterusnya, ia akan dibawa kepada pihak berautoriti, MKI dan Majlis Raja-Raja serta dibawa kepada majlis Jemaah Menteri. Itu proses yang kita lalui dan perlu melalui proses seperti mana yang ada dalam Perlembagaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya sama ada sempat atau tidak RUU 355 itu dibentangkan di Parlimen tahun ini, Zulkifli memberi jaminan kerajaan sangat komited terhadap perkara berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut memaklumkan komitmen itu sekali gus menyifatkan RUU 335 adalah isu yang mendapat perhatian semua.

"Kerajaan komited sekiranya (sudah) dibentangkan kepada MKI, Majlis Raja-Raja dan Jemaah Menteri malah Perdana Menteri sudah pun memaklumkan komitmen itu, tetapi saya tidak dapat menjanjikan bila tarikhnya (bentang di Parlimen)," katanya.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad iaitu denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa lebih mengikut syariah, kecuali hukuman bunuh.

Terdahulu, Zulkifli hadir merasmikan Konvensyen Dakwah dan Tarbiah Kelantan 2024 di Dewan Jabatan Pendidikan Negeri(JPN) Negeri Kelantan di sini, dan program itu turut dihadiri Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) negeri Kelantan, Mahadi Awang.

Berita Harian X