Sabtu, 25 Mei 2024 | 3:49pm
Jemaah umrah guna visa pelancong masih boleh berada di Makkah sebagai pelancong - Foto fail Reuters
Jemaah umrah guna visa pelancong masih boleh berada di Makkah sebagai pelancong - Foto fail Reuters

Jemaah umrah guna visa pelancong masih dibenarkan berada di Makkah

KUALA LUMPUR: Kumpulan jemaah umrah yang menggunakan visa pelancong masih dibenarkan berada di Makkah atas kapasiti mereka sebagai pelancong.

Namun, mereka tidak mendapat kebenaran mengerjakan haji musim ini kerana tidak membuat sebarang permohonan permit haji.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata mana-mana kumpulan yang menggunakan visa pelancong untuk melaksanakan umrah, mereka sememangnya tiada masalah untuk berada di Arab Saudi dalam tempoh ditetapkan melainkan tidak dibenarkan untuk masuk ke Arafah saja.

Katanya, hanya jemaah umrah yang datang menggunakan visa umrah saja diarahkan pulang bagi memudahkan jemaah haji yang mula tiba di Arab Saudi dari seluruh dunia menunaikan ibadah dengan selesa di Masjidil Haram di Makkah.

"Justeru hantaran yang dibuat oleh pengguna laman sosial Forum Umrah DIY itu disifatkan begitu sangsi kerana ia dibuat atas kenyataan daripada kawannya di sana.

"Apa yang boleh dikatakan, mungkin berlaku sedikit kekeliruan antara agensi berkenaan dan kumpulan jemaah itu. Mereka sebenarnya pergi melancong, bukanlah bakal jemaah haji,"katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham. - Foto fail NSTP
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham. - Foto fail NSTP

Menerusi hantaran di Facebook Forum Umrah DIY, baru-baru ini seorang pengguna dikenali Zhyema Zhyedee, mendakwa dihubungi rakannya yang berada dalam kelompok jemaah umrah yang berada di Makkah, mohon mendapatkan bantuan selepas menyedari diperdaya agensi pelancongan.

Zhyema berkata, rakannya dimaklumkan agensi pelancongan terbabit menjanjikan untuk memberi gelang kebenaran mengerjakan haji, namun masih gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Berdasarkan infografik dikongsi di platform X, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan pelaksanaan penalti berjumlah 10,000 riyal (RM12,64) jika melanggar peraturan seperti larangan memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji 2024.

Tujuh kawasan ditetapkan itu ialah Makkah, wilayah Tengah, Masayir, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Pada 11 Mei lalu, BH melaporkan kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah, kini dalam kebingungan apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka, gagal menunaikan janji mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Bakal haji terbabit menyedari diperdaya selepas mendapati pakej haji yang murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadat itu.

Razali berkata, untuk mengerjakan haji, permohonan permit dilakukan dan perlu mendapat kebenaran sebelum tarikh ibadat wukuf dijalankan.

"Tetapi kumpulan itu difahamkan pergi ke Arab Saudi pada bulan Syawal lagi. Maknanya, semua dakwaan itu hanya membabitkan dengan agensi pelancongan yang membawa mereka saja,"katanya.

Berita Harian X