Sabtu, 25 Mei 2024 | 2:52pm
Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini. - BERNAMA
Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini. - BERNAMA

Saksi akui Najib tidak dirujuk dokumen kelulusan pinjaman AS$975 juta

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui Datuk Seri Najib Razak tidak diberi peluang menjelaskan sama ada beliau menandatangani dokumen berhubung kelulusan pinjaman berjumlah AS$975 juta.

Kemudahan pinjaman berkenaan dibuat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Deustche Bank Singapore untuk Tawaran Permulaan Awam (IPO) 1MDB Energy Group.

Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin, 37, selaku saksi ke-49 pendakwsaan bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, bahawa lima dokumen penting itu tidak dirujuk kepada Najib ketika diambil rakaman percakapannya oleh pegawai siasatan.

Saksi sama turut bersetuju pegawai siasatan juga tidak memberi peluang kepada Najib untuk menjelaskan jika beliau betul-betul menandatangani dokumen berkenaan.

Nur Aida bagaimanapun menjelaskan, pihaknya mendapati bahawa dokumen itu dibawakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepada Najib, berdasarkan rakaman percakapan diambil SPRM daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

Nur Aida yang menjawab soalan balas Wan Azwan, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa lima dokumen itu tidak ditandatangani Najib.

Wan Azwan: Dokumen ini adalah tonggak kes pendakwaan untuk membuktikan Najib meluluskan AS$975 juta daripada Deustche?

Nur Aida: Betul

Wan Azwan: Setuju atau tidak ini satu dokumen penting yang menunjukkan Najib mempengaruhi Ahli Lembaga Pengarah untuk menandatanganinya?

Nur Aida: Ya

Wan Azwan: Ia tidak pernah dirujuk kepada Najib semasa rakaman percakapan diambil?

Nur Aida: Ya

Wan Azwan: Tiada perakuan daripada Najib yang mengesahkan beliau menandatangani dokumen ini?

Nur Aida: Tidak pernah dirujuk (kepada Najib).

Wan Azwan: Tiada pengesahan daripada Najib yang beliau mengakui menandatangani dokumen ini?

Nur Aida: Betul

Wan Azwan kemudian menimbulkan persoalan bahawa meskipun dokumen berkenaan boleh menyokong kes pendakwaan, ia tidak pernah dirujuk kepada Najib kerana pegawai penyiasat mengetahui terdapat percanggahan melalui tandatangan bekas Menteri Kewangan itu.

Menurut Wan Azwan, ia tidak pernah ditunjukkan kepada Najib apabila kenyataannya direkodkan kerana SPRM mengetahui tandatangan berkenaan tidak sama.

Bagaimanapun, cadangan peguam bela itu tidak dipersetujui saksi.

Dokumen dirujuk peguam berkaitan tuduhan keempat salah guna kuasa dihadapi Najib yang didakwa menerima suapan RM44.5 juta dengan meluluskan kemudahan pinjaman berjangka AS$975 juta daripada Deutsche Bank.

Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu 1MDB membuat pinjaman AS$975 juta daripada Deutsche Bank, namun ia tidak pernah digunakan untuk menebus semula "Aabar Options" (pembelian pilihan yang dijamin oleh IPIC), ketika proses pembelian penjana tenaga bebas (IPP).

Sementara itu, Nur Aida tidak bersetuju dengan cadangan bahawa pengurusan 1MDB, dengan bantuan beberapa pegawai bank berkomplot untuk menipu Najib dan rakyat Malaysia.

Beliau menolak cadangan bahawa Mohd Hazem dan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir mendalangi perancangan palsu dengan pegawai Bank BSI dan Aabar Investments PJS Ltd untuk menipu Najib bahawa wang pelaburan 1MDB akan dibawa masuk semula ke dalam syarikat pelaburan strategik berkenaan.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Berita Harian X