Sabtu, 25 Mei 2024 | 12:47pm
Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan (tiga kiri) bersama Timbalan Naib Canselor (Kolaborasi) City University Malaysia, Prof Datuk Dr Yasmin Hussain (lima kiri), Ketua Projek Kamus Braille Inggeris-Melayu untuk Pelajar Buta Pertama Malaysia dan Dunia, Dr Mohd Norazmi Nordin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia, Silatul Rahim Dahman (enam kiri) beramah mesra dengan sebahagian peserta pada Majlis Pelancaran Bengkel Kamus Braille Inggeris-Melayu untuk Pelajar Buta Pertama Malaysia dan Dunia di Cheras, Kuala Lumpur. - Foto AIZUDDIN SAAD
Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan (tiga kiri) bersama Timbalan Naib Canselor (Kolaborasi) City University Malaysia, Prof Datuk Dr Yasmin Hussain (lima kiri), Ketua Projek Kamus Braille Inggeris-Melayu untuk Pelajar Buta Pertama Malaysia dan Dunia, Dr Mohd Norazmi Nordin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia, Silatul Rahim Dahman (enam kiri) beramah mesra dengan sebahagian peserta pada Majlis Pelancaran Bengkel Kamus Braille Inggeris-Melayu untuk Pelajar Buta Pertama Malaysia dan Dunia di Cheras, Kuala Lumpur. - Foto AIZUDDIN SAAD

Kamus Braille Inggeris-Melayu beri manfaat 50,000 OKU penglihatan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Penghasilan kamus Braille Inggeris-Melayu akan memberi manfaat kepada lebih 50,000 golongan kurang upaya (OKU) penglihatan di negara ini.

Ketua Projek Kamus Braille Inggeris-Melayu, Dr Mohd Norazmi Nordin berkata, tumpuan pihaknya adalah kamus itu dapat digunakan oleh pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).

"Di sekolah ada antara 6,000 hingga 8,000 pelajar yang mempunyai masalah penglihatan. Jika dikira jumlah pelajar di sekolah dan universiti berkemungkinan akan mencecah 10,000 orang menerima manfaat daripada penghasilan kamus ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bengkel Kamus Braille Inggeris-Melayu pertama di Malaysia dan dunia, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Kolaborasi), City University Malaysia, Datuk Dr Yasmin Hussain.

Hadir sama ialah Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta, Silaatul Rahim Dahman.

Mengulas lanjut mengenai penghasilan kamus Braille berkenaan, Mohd Norazmi berkata ia mengambil masa antara enam bulan hingga setahun dan dijangka diedarkan bermula awal tahun depan.

Katanya, penghasilan perkataan kamus Braille itu diambil daripada kamus yang digunakan oleh orang normal namun terdapat beberapa penapisan perkataan dibuat oleh pihaknya.

"Untuk awalnya, perkataan ini kita ambil dalam kamus asal yang mempunyai antara 20,000 hingga 30,000 perkataan yang kemudiannya diterjemahkan kepada kod Braille.

"Setelah mengambil kira keupayaan murid dan pengguna OKU penglihatan yang lain, kita tapis beberapa perkataan yang mungkin sangat jarang digunakan oleh mereka.

"Jadi jumlah perkataan yang akan dimuatkan dalam 20 jilid kamus Braille itu adalah antara 10,000 hingga 15,000 perkataan," katanya.

Buat masa ini, beliau berkata, kamus braille itu tidak akan dijual tetapi 1,000 naskah pertama yang dikeluarkan itu akan diedarkan secara percuma di sekolah, perpustakaan dan badan bukan kerajaan (NGO) penglihatan di seluruh negara.

"Setakat ini, kita tidak tumpukan untuk menjual atau bagi tujuan komersial. Kita akan edarkan di sekolah, IPT, perpustakaan dan NGO.

"Maksudnya 1,000 naskah awal ini akan dibahagikan, tetapi kita akan lebihkan edarannya kepada sekolah dan perpustakaan keranan penggunanya lebih ramai manakala NGO, penggunaan agak terhad," katanya.

Sementara itu, Silaatul Rahim berkata, kamus seumpama itu mempunyai banyak permintaan daripada pelajar OKU termasuk guru pendidikan khas yang memerlukan naskah berkenaan sebagai bahan rujukan serta alat bantu mengajar.

"Walaupun perkembangan menjurus kepada penggunaan teknologi, tetapi Braille harus dimartabatkan, dikekalkan dan harus diajar kepada pelajar kerana ia (Braille) terbukti membawa banyak kejayaan kepada 253 juta orang buta dalam dunia sehingga ke hari ini.

"Jika kita memperkenalkan dan memperbanyakkan lagi bahan bacaan dalam Braille seperti kamus ini, maka ia boleh digunakan, dibaca di semua tempat dalam semua keadaan.

"Sebagai contoh pelajar OKU penglihatan ini boleh membaca Braille bukan setakat dalam kelas, malahan dalam asrama, di rumah, dalam kenderaan, serta mereka boleh membaca walaupun dalam keadaan lampu tidak dipasang kerana mereka tidak menggunakan mata untuk membaca.

"Sebab itu saya berkeras dan memastikan Braille tidak akan pupus dalam pasaran di negara kita," katanya.

Silaatul berkata, pihaknya turut mendapat bantuan daripada pelajar dari Universiti HELP untuk memasukan perkataan itu ke tulisan digital sebelum ia dapat diterjemahkan ke Braille.

"Prosesnya agak panjang, memerlukan kepakaran dan peralatan khas. Kira-kira enam bulan tempoh masa yang diambil," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli memaklumkan pihaknya berbesar hati menyumbang sebanyak RM130,000 bagi penghasilan kamus itu demi meningkatkan taraf pendidikan OKU penglihatan di negara ini.

"Dalam zaman moden ini bahasa Inggeris sangat penting dan banyak digunakan di dunia ini.

Jika mereka mempunyai kelebihan untuk kuasai bahasa itu, sudah tentu mampu tingkatkan mereka dalam bidang pendidikan. Dana yang diberikan ini juga adalah sumbangan rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X