Jumaat, 24 Mei 2024 | 7:22pm
Tujuh rakyat Malaysia yang masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin termasuk seorang anak kapal SQ321 manakala tiga rakyat Malaysia lain berada di Hospital Samitivej Sukhumvit. - Foto AGENSI
Tujuh rakyat Malaysia yang masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin termasuk seorang anak kapal SQ321 manakala tiga rakyat Malaysia lain berada di Hospital Samitivej Sukhumvit. - Foto AGENSI

48 penumpang, anak kapal SQ321 masih dirawat di hospital di Bangkok

BANGKOK: Seramai 48 penumpang daripada penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321, yang dialihkan ke Bangkok ketika dalam perjalanan ke Singapura dari London selepas mengalami gelora udara ekstrem pada Selasa, masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, Hospital Samitivej Sukhumvit dan Hospital Bangkok.

Hospital Samitivej Srinakarin dalam kenyataan berkata, setakat tengah hari ini, masih terdapat 34 pesakit yang dirawat di Srinakarin, 12 di Sukhumvit dan dua di Hospital Bangkok.

"Enam pesakit dibenarkan keluar dari Hospital Samitivej Srinakarin hari ini," menurut kenyataan terbabit.

Baki pesakit yang masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, mengikut kewarganegaraan adalah sembilan warga Australia, tujuh rakyat Britain, tujuh warganegara Malaysia, tiga warga Filipina, dua rakyat New Zealand dan masing-masing seorang dari Amerika Syarikat, Myanmar, Ireland, Iceland, Israel dan Sepanyol.

Tujuh rakyat Malaysia yang masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin termasuk seorang anak kapal SQ321 manakala tiga rakyat Malaysia lain berada di Hospital Samitivej Sukhumvit.

Penerbangan SQ321, dengan 211 penumpang dan 18 anak kapal, sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura apabila ia menghadapi gelora udara ekstrem secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan pesawat Boeing 777-300ER itu dialihkan ke Bangkok, mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan pada Selasa.

Insiden itu menyebabkan seorang maut dan beberapa orang cedera. Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata pada Rabu bahawa insiden itu telah menyebabkan seorang lelaki British berusia 73 tahun meninggal dunia.

Selepas insiden tersebut, SIA telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan termasuk penggantungan perkhidmatan makanan dan memerlukan anak kapal untuk kekal duduk ketika tanda tali pinggang keledar dinyalakan, sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih berhati-hati dalam menguruskan gelora udara dalam penerbangan.

Sementara itu, Pengarah Hospital Samitivej Srinakarin, Dr Adinun Kittiratanapaibool, dipetik oleh media tempatan sebagai berkata bahawa kebanyakan pesakit di hospital tersebut mengalami kecederaan tulang belakang dan saraf tunjang, kecederaan tengkorak serta pelbagai kecederaan tulang dan otot.

"Banyak pembedahan telah dilakukan sejak Selasa lalu, termasuk pembedahan tulang belakang, pembedahan tulang belakang toraks dan pembaikan luka koyak, dengan beberapa pesakit menerima rawatan paliatif," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X