Khamis, 23 Mei 2024 | 5:14pm
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada pertemuan bersama pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Jepun hari ini. - Pix ihsan PMO
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada pertemuan bersama pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Jepun hari ini. - Pix ihsan PMO

Kestabilan, ekosistem pelaburan Malaysia kondusif untuk realisasi pelaburan - PM Anwar

TOKYO: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kestabilan dan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi mana-mana syarikat untuk merealisasikan pelaburan ke dalam negara.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri ketika mengetuai delegasi Malaysia mengadakan pertemuan bersama pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Jepun hari ini.

Antara syarikat terbabit adalah IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd, Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.

"Ruangan dan peluang ini saya gunakan untuk memberi jaminan kepada mereka bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik dan pilihan untuk membuat pelaburan.

"Saya juga tegaskan bahawa Malaysia mempunyai kestabilan dan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi mana-mana syarikat merealisasikan pelaburan ke dalam negara.

"Antara peluang pelaburan di Malaysia yang dibincangkan merangkumi industri minyak dan gas, tenaga boleh baharu, hidrogen dan amonia, industri halal dan semikonduktor," katanya melalui muat naik di platfrom X.

Beliau kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun, kurang seminggu selepas mengetuai delegasi ke Qatar, selain tiga negara Asia tengah iaitu Kyrgyztan, Kazakhstan dan Uzbekistan yang berjaya meraih potensi eksport melebihi RM1 bilion.

Turut serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata beliau turut menegaskan supaya komitmen semua syarikat dalam pertemuan hari ini disusuli secara rapi supaya pelaburan ke dalam negara dapat direalisasikan dalam masa ditetapkan.

"Dengan adanya interaksi kerajaan dengan para pelabur seperti ini akan terus memberikan peluang yang besar buat negara kita bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada Jepun, Insya-Allah," katanya.

Berita Harian X