Khamis, 23 Mei 2024 | 5:07pm
MAHB menguruskan lapangan terbang di Malaysia dan satu di Turkiye. - Foto hiasan BH
MAHB menguruskan lapangan terbang di Malaysia dan satu di Turkiye. - Foto hiasan BH

Saham MAHB: Wan Ahmad Fayhsal salah pintu

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan tiada kaitan dengan pengambilalihan kepentingan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan tindakan menyerah memorandum ke kementeriannya seperti dilakukan oleh Wan Ahmad Fayhsal sebagai salah tempat.

"Sebenarnya mereka dah salah ketuk pintu. Sekiranya anda mahu serah memorandum, anda sepatutnya pergi ke Khazanah.

"Saya menasihat Wan Fayhsal cari alamat yang betul," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Wisma Monorel di sini, hari ini.

Loke berkata demikian sebagai mengulas mengenai bantahan dalam penjualan saham MAHB.

Dalam pada itu, Loke turut menempelak Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Pemuda BERSATU sebagai tidak faham dengan tindakan sendiri walaupun mempunyai status sebagai seorang Ahli Parlimen.

"Saya dah nyatakan banyak kali. Jadi, saya rasa kesal sebab dia Ahli Parlimen pun tak faham. Dia nak hantar memorandum patut cari tempat yang betul," katanya.

Mengulas lanjut Loke berkata keputusan untuk mengadakan kerjasama strategik membabitkan Khazanah bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sebaliknya, Loke menegaskan, Kementerian Pengangkutan hanya bertindak sebagai pengawal selia.

"Justeru operator itu nak adakan usahasama dengan siapa, ia di luar kawalan kita," katanya.

Berita Harian X