Khamis, 23 Mei 2024 | 4:51pm
Aminuddin Harun ketika meninjau kilang di Batu 5, Jalan Jelebu yang dikesan menjalankan peleburan besi secara haram dan pengumpulan sisa plastik. Foto NSTP Azrul Edham
Aminuddin Harun ketika meninjau kilang di Batu 5, Jalan Jelebu yang dikesan menjalankan peleburan besi secara haram dan pengumpulan sisa plastik. Foto NSTP Azrul Edham

Kilang lebur besi secara haram punca pokok mati, cemar Sungai Linggi

SEREMBAN: Sebuah kilang di Batu 5, Jalan Jelebu, dekat Pantai, di sini dikesan menjalankan peleburan besi secara haram, selain turut mencemarkan Sungai Linggi, manakala asap yang dilepaskan menyebabkan ratusan pokok mati.

Kilang berkenaan juga difahamkan beroperasi di atas tanah berstatus pertanian sejak 2020 dengan menggajikan warga asing tanpa permit sah.

Tinjauan di kilang itu juga mendapati ia agak tersorok, selain suasana seperti di kilang arang batu dengan keadaan pokok mati dan berbau seperti belerang yang menyesakkan dada.

Hasil serbuan yang dijalankan Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini, mengesan sekurang-kurangnya lapan kesalahan dilakukan dan mungkin akan bertambah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang turun padang ke lokasi ternyata kecewa dengan kegiatan berkenaan yang turut mencemarkan Sungai Linggi yang mengalir ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi.

"Ops Toksik ini membabitkan 100 petugas dari Cawangan Khas, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) serta beberapa agensi lain.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap empat premis kilang. Salah satu daripadanya didapati menjalankan aktiviti peleburan sisa bertoksik tanpa kelulusan JAS yang memberi kesan mudarat terhadap alam sekitar dan kesihatan penduduk sekitar kawasan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesan pencemaran yang menyebabkan pokok di kawasan belukar sekitar 150 meter radius mati dan terdapat limpahan sisa toksik di sekitar kawasan premis," katanya pada sidang media.

Tambah beliau, kegiatan itu dipercayai didalangi dua lelaki tempatan, manakala pekerjanya terdiri daripada warganegara Myanmar, China dan Nepal.

"Hasil pemeriksaan di empat premis itu berjaya menahan 37 warga Myanmar, lapan lelaki warga China, tiga lelaki dari Nepal dan dua lelaki warga tempatan," katanya.

Tambah Aminuddin, pengusaha premis dipercayai melakukan lapan kesalahan utama antaranya mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kerana gagal mengemukakan laporan Environment Impact Assesment (ElA) bagi aktiviti pelupusan atau pengendalian sisa buangan.

"Buat masa ini kami juga melihat mereka melanggar Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan kegiatan pelupusan sisa secara haram. Seksyen 127 Kanun Tanah Negara Akta 828 (Melanggar Syarat Nyata Tanah).

"Tiada dokumen perjalanan sah, salah guna pas dan pas melebihi tempoh perjalanan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 53 (1) UUK Pelesenan dan Seksyen 70 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan," katanya.

Justeru beliau berkata, dia mengarahkan semua agensi menyelesaikan siasatan dengan segera, selain memberi amaran supaya menyemak terlebih dahulu sesebuah kilang dan operasinya sebelum meluluskan sebarang permohonan.

Berita Harian X