Khamis, 23 Mei 2024 | 3:45pm
Ab Rauf menyerahkan watikah pelantikan sebagai Yang Dipertua MPJ kepada Mohd Shaiful Hizam Johan, di Seri Negeri, hari ini. - FotoNSTP/Amir Mamat
Ab Rauf menyerahkan watikah pelantikan sebagai Yang Dipertua MPJ kepada Mohd Shaiful Hizam Johan, di Seri Negeri, hari ini. - FotoNSTP/Amir Mamat

PBT Melaka disaran proaktif perhebatkan sektor pelancongan - KM

AYER KEROH: Kerajaan negeri mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri memperhebatkan lagi aset serta daya tarikan pelancongan yang terdapat di bawah kelolaan masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata langkah terbabit sekali gus menjadikan Melaka hebat dalam sektor pelancongan bukan saja dalam bandar tetapi juga di luar bandar.

"Saya mahu ketua PBT bersikap lebih peka dan proaktif dalam melaksanakan dasar yang sudah diputuskan dan sentiasa berfikiran di luar kotak dalam mentadbir urus dan memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya selepas menyaksikan upacara angkat sumpah jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), di Seri Negeri, di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Setiausaha MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan dilantik ke jawatan nombor satu PBT terbabit menggantikan Rosemanizam Mohd Nalif yang tamat perkhidmatan, tahun lalu.

Yang turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zain serta semua ketua PBT Melaka.

Sementara itu, Ab Rauf turut berterima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang meluluskan peruntukan berjumlah RM83.66 juta bagi tujuan pembangunan infrastruktur di negeri itu.

Katanya, perkhabaran baik itu berdasarkan prestasi atau "performance-based budget' untuk merealisasikan 17 projek yang berperanan penting dalam strategi pembangunan komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua ketua serta Ahli Majlis PBT perlu berperanan memastikan segala perancangan pembangunan negeri dapat dilaksana dengan efektif serta pemprosesan kelulusan pelan pembangunan dibuat dengan cepat dan tepat.

"Selaku seorang Datuk Bandar atau YDP, penting untuk mereka memahami matlamat PBT sebagai kerajaan tempatan serta dasar kerajaan negeri serta Persekutuan dalam melaksanakan kewajipan dan tugas diamanahkan.

"Saya menyarankan supaya mereka sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas disandang, peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, prihatin terhadap permasalahan masyarakat setempat serta mengambil tahu isu tempatan, nasional mahu pun peringkat global," katanya.

Berita Harian X