Khamis, 23 Mei 2024 | 2:13pm
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - NSTP
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - NSTP

1,000 syarikat terbabit projek rintis Dasar Gaji Progresif bermula Jun

KUALA LUMPUR: Dasar Gaji Progresif yang menyasarkan peningkatan gaji dan pengagihan pendapatan lebih seimbang akan mula dilaksanakan sebagai projek rintis Jun depan, dengan pembabitan 1,000 syarikat meliputi lima sektor dikenal pasti.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, lima sektor itu membabitkan pembuatan; pembinaan: perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal; maklumat dan komunikasi; serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

Beliau berkata, pemilihan syarikat untuk projek rintis itu dibuka kepada lima sektor berkenaan dengan pemilihan melalui proses yang menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor serta kesaksamaan.

"Penilaian projek rintis akan dilaksanakan pada September ini, bagi memastikan ketersediaan dasar sebelum Dasar Gaji Progresif secara menyeluruh dilaksanakan kepada semua majikan dan ekonomi," katanya menerusi ciapan di laman X, hari ini.

Selasa lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Perutusan Negara memaklumkan kerajaan serius menggubal Dasar Gaji Progresif membabitkan sektor swasta bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Perdana Menteri berkata, usaha itu penting kerana ramai golongan muda dan graduan sering bertanya mengenai nasib mereka berhubung perkara berkenaan.

Dasar Gaji Progresif adalah usaha kerajaan untuk memastikan gaji rakyat tinggi selari dengan peningkatan produktiviti, selain tumpuan untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi.

Kertas Putih cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan di Parlimen 30 November lalu, antara lain menjadi strategi kerajaan meningkatkan gaji penengah pekerja, sekali gus meningkatkan kadar bahagian pampasan pekerja (CE) dalam tempoh berbaki RMK-12 serta 10 tahun akan datang.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, pihak majikan yang terbabit dengan Dasar Gaji Progresif boleh menuntut insentif tunai daripada kerajaan sekiranya memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.

"Syarikat yang terpilih akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja peringkat permulaan dan maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja bukan peringkat permulaan.

"Setiap pekerja yang berdaftar di bawah Dasar Gaji Progresif perlu menjalani kursus dan latihan peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya selama tiga hari (21 Jam)," katanya.

Majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut termasuk garis panduan penuh pelaksanaan Dasar Gaji Progresif serta latihan boleh melayari laman web https://gajiprogresif.gov.my.

Berita Harian X