Khamis, 23 Mei 2024 | 2:11pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Buruh didakwa tiga pertuduhan cabul anak tiri

KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya, dalam kejadian antara Februari 2022 hingga April 2023.

Tertuduh berusia 34 tahun bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhammad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah dengan anak tirinya iaitu kanak-kanak berumur 11 tahun ketika kejadian didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Keterah, pada Februari dan Jun 2022 serta April 2023 antara jam 3 petang sehingga 10 malam.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pemdakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan terbabit membabitkan jenayah seksual kanak-kanak.

Mahkamah memutuskan tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 27 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X