Rabu, 22 Mei 2024 | 11:52pm
Pegawai memeriksa pesawat Singapore Airlines Boeing 777-300ER dari London ke Singapura yang membuat pendaratan cemas di Bangkok selepas berdepan gelora udara ekstrem dan mengorbankan seorang warga Britain. - AFP
Pegawai memeriksa pesawat Singapore Airlines Boeing 777-300ER dari London ke Singapura yang membuat pendaratan cemas di Bangkok selepas berdepan gelora udara ekstrem dan mengorbankan seorang warga Britain. - AFP

Tiga penumpang pesawat SIA rakyat Malaysia dirawat di ICU dilapor stabil

BANGKOK: Tiga penumpang rakyat Malaysia penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) tetapi tiada yang berada dalam keadaan kritikal.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, berkata beliau dimaklumkan walaupun keadaan mereka tidak sehingga mengancam nyawa, mereka perlu dipantau rapi di ICU kerana mengalami kecederaan di kepala dan belakang.

"Tiga yang berada di ICU dalam keadaan sedar dan boleh bercakap manakala keadaan mereka dipantau doktor. Enam lagi rakyat Malaysia yang dimasukkan ke wad kerana pening dan kecederaan ringan berada dalam keadaan stabil sambil dipantau doktor," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang dimasukkan ke hospital berusia antara 31 hingga 65 tahun, dengan enam dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

Katanya, pihak kedutaan komited memantau keadaan mereka dan sedia menghulur bantuan diperlukan.

Pesawat SIA penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 kru itu sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia mengalami gelora udara yang ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok dan mendarat pada jam 3.45 petang waktu tempatan semalam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi .

Seorang penumpang maut dan ramai tercedera dalam insiden itu.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn dilaporkan berkata, mangsa yang maut itu adalah lelaki warga British berusia 73 tahun.

Terdahulu, Timbalan Superintendan Balai Polis Lapangan Terbang Suvarnabhumi Left Kol Polis Weerasak Muangsuwan dalam satu kenyataan berkata, Polis Thailand menghantar mayat penumpang berkenaan ke Jabatan Forensik Institut Perubatan Chakri Naruebodindra untuk bedah siasat.

"Belum ada yang tampil menuntut mayat kerana isteri si mati juga cedera dan masih menerima rawatan," katanya.

Sementara itu Menteri Kesihatan Awam Thailand Somsak Thepsuthin menzahirkan kesedihannya terhadap apa yang berlaku kepada penumpang dan kru penerbangan SQ321 SIA.

Jurucakap politik kepada Kementerian Kesihatan Awam, Trichada Sritada berkata, Somsak mengarahkan Setiausaha Tetap kepada kementerian itu, Opas Karkawinpong, untuk memberi bantuan kesihatan sepenuhnya kepada penumpang dan kru terbabit.

"Somsak menekankan kepentingan sokongan menyeluruh kepada individu yang terkesan," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, 41 daripada mereka dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, 14 orang di Hospital Samitivej Sukhumvit sementara dua orang lagi di Hospital Bangkok.

– BERNAMA

Berita Harian X