Rabu, 22 Mei 2024 | 4:11pm
Keadaan dalam pesawat Singapore Airlines penerbangan SQ321 selepas pendaratan cemas di Lapangan Antarabangsa Suvarnabhumi. - Foto REUTERS
Keadaan dalam pesawat Singapore Airlines penerbangan SQ321 selepas pendaratan cemas di Lapangan Antarabangsa Suvarnabhumi. - Foto REUTERS

SQ321: Sembilan rakyat Malaysia terima rawatan, dalam keadaan stabil - Duta

BANGKOK: Kedutaan Besar Malaysia di sini sedang memudah cara dan membantu sembilan rakyat Malaysia terdiri daripada kru dan penumpang penerbangan SQ321 Singapore Airlines yang cedera selepas pesawat itu mengalami gelora udara dan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi (BKK), pada petang Selasa.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk, Jojie Samuel, berkata pegawai konsular telah bertemu dengan kesemua mereka yang cedera daripada dua hospital berasingan di Bangkok dan mereka kini sedang menerima rawatan dan dalam keadaan stabil.

Jojie berkata, beliau dimaklumkan seorang kru rakyat Malaysia berusia 32 tahun menerima dua pembedahan di sebuah hospital di sini malam tadi berikutan kecederaan di kepala dan kaki serta kecederaan minor pada spina.

"Setakat pagi tadi, lelaki berusia 32 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan malam tadi dan pihak kedutaan akan memantau rapi keadaannya dan akan menawarkan bantuan selanjutnya sekiranya diperlukan.

Lapan lagi rakyat Malaysia yang mengalami keretakan tulang rusuk, sakit tengkuk, pening kepala dan kecederaan ringan sekarang ini berada dalam pemantauan di wad biasa di kedua-dua hospital sementara menunggu keputusan perubatan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, menerusi perbincangan dengan doktor-doktor daripada kedua-dua hospital, kesemua mereka mengalami kecederaan fizikal dan dalaman tetapi bukan dalam keadaan kritikal.

Jojie berkata, enam warga Malaysia menerima rawatan di Hospital Samitivej Srinakarin serta tiga lagi berada di Hospital Samitivej Sukhumvit dan pihak kedutaan akan terus memantau keadaan mereka.

Pesawat membawa 211 penumpang dan 18 kru itu sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia mengalami gelora udara yang ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok dan mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan, pada Selasa.

Seorang penumpang maut dan ramai tercedera dalam insiden itu.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn berkata, pada Selasa mangsa yang maut itu adalah seorang lelaki warga British berusia 73 tahun.

- BERNAMA

Berita Harian X