Rabu, 22 Mei 2024 | 12:37pm
Penumpang pesawat SIA yang cedera dibawa ke hospital di Bangkok, Thailand. - REUTERS
Penumpang pesawat SIA yang cedera dibawa ke hospital di Bangkok, Thailand. - REUTERS

9 rakyat Malaysia cedera, seorang kritikal insiden pesawat SIA alami gelora udara ekstrem

KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 16 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA) dalam penerbangan dari London ke Singapura, dilaporkan cedera dalam insiden gelora udara ekstrem semalam.

Mereka termasuk seorang anak kapal sedang dirawat di dua hospital selepas penerbangan SQ321 itu mendarat cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital selain menghulurkan bantuan konsular kepada sembilan penumpang terbabit.

"Pada masa ini, enam rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit. Semua mangsa alami kecederaan fizikal dan dalaman dengan seorang mengalami kecederaan kritikal, tetapi dalam keadaan stabil.

"Mereka berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga penumpang yang meninggal dunia dan mendoakan supaya semua mangsa yang cedera cepat sembuh.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di Kronos Sathorn Tower Level 17, 46 North Sathorn Road, Silom Bang Rak, Bangkok.

Mereka juga boleh menghubungi talian +66-2340-5731/5732 (waktu pejabat) atau +66-87-028-4659 (selepas waktu pejabat).

Terdahulu, Ketua Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn, berkata kematian dalam kejadian itu membabitkan seorang lelaki warga British berusia 73 tahun.

SIA memaklumkan, penerbangan mengalami gelora angin ekstrem secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki, kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow.

Ia memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER itu ke Bangkok.

Berita Harian X