Selasa, 21 Mei 2024 | 4:01pm
Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohamed Shamir Abdul Aziz (dua, kiri) menyerahkan wakalah zakat berjumlah RM160,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Datuk Seri Rozali Mohamud disaksikan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) dan Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid (tiga dari kiri). Foto Ihsan AIM
Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohamed Shamir Abdul Aziz (dua, kiri) menyerahkan wakalah zakat berjumlah RM160,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Datuk Seri Rozali Mohamud disaksikan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) dan Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid (tiga dari kiri). Foto Ihsan AIM

KKAIMB serah wakalah zakat RM160,000 kepada Yayasan Amal TYT Pulau Pinang

Georgetown: Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB) menyerahkan agihan wakalah zakat berjumlah RM160,000 kepada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dalam satu majlis ringkas berlangsung di Seri Mutiara, hari ini.

Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohamed Shamir Abdul Aziz mewakili KKAIMB menyerahkan zakat itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Datuk Seri Rozali Mohamud disaksikan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Mohamed Shamir berkata, tahun lalu KKAIMB mengeluarkan zakat sebanyak RM1 juta dengan 40 peratus atau RM400,000 daripadanya sudah dikembalikan semula sebagai wakalah untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan institusi yang layak menerima zakat.

"Jadi daripada jumlah itu kita menyerahkan sebanyak RM160,000 kepada Yayasan Amal TYT dan baki selebihnya sudah diserahkan kepada pelbagai pertubuhan dan organisasi termasuk pusat-pusat tahfiz, asnaf dan anggota koperasi sendiri di seluruh negara yang layak menerima bantuan zakat.

"Ini adalah komitmen kami untuk memastikan agihan zakat ini dilakukan secara menyeluruh kepada mereka yang memerlukan dan Yayasan Amal TYT dipilih sebagai satu daripada penerima kerana ia menaungi segenap lapisan masyarakat di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di perkarangan Seri Mutiara, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid; Pengerusi Lembaga KKAIMB, Saad Ishak dan Timbalan Pengarah Urusan (Keusahawanan dan Korporat), Mohamad Zulkahizam Mohamad Zuldin.

Sementara itu, Rozali berkata pihaknya berterima kasih atas keprihatinan (KKAIMB) dan sumbangan itu akan dimanfaatkan sebaik-baiknya membantu golongan memerlukan di Pulau Mutiara.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan pelbagai penganjuran program capaian khidmat masyarakat yang dijalankan dari semasa ke semasa oleh yayasan yang ditubuhkan pada 9 Disember 2021 dan diperbadankan pada 26 Januari 2022 itu.

"Ini kali pertama yayasan kami menerima zakat daripada KKAIMB dan saya sebagai wakil sangat berterima kasih kerana kepada pihak koperasi yang menyediakan peruntukan dengan jumlah begitu banyak untuk digunakan golongan asnaf yang sudha ditentukan dalam senarai pengeluaran zakat di Pulau Pinang.

"Yang Dipertua Pulau Pinang sendiri sentiasa menghadiri dan mengadakan program kemasyarakatan termasuk ziarah ke kampung dan kawasan perumahan serta sering menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan susah, uzur dan sebagainya," katanya.

Berita Harian X