Selasa, 21 Mei 2024 | 10:44am
Noor Syahira menunjukkan pelbagai pencuci mulut di kedainya.
Noor Syahira menunjukkan pelbagai pencuci mulut di kedainya.

Buka premis jual kek hasil kursus empowerNCER

Bagan Datuk: Bermula menjual kek buatan sendiri secara penghantaran tunai (COD), Noor Syahira Musa, 36, kini memiliki kedai menjual produk makanan pencuci mulut yang menggabungkan perkhidmatan membaiki telefon bimbit.

Itu kelainan yang ditawarkan di premis SWEET BiTES di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang, di sini yang diusahakan ibu empat anak itu.

Noor Syahira berkata, selain menjual produk makanan buatan sendiri, premisnya yang berkonsepkan perniagaan vendor turut menempatkan pelbagai produk makanan pencuci mulut lain seperti kek, puding, sandwic, dadih, biskut dan gubahan hadiah.

Miliki 35 vendor

Katanya, SWEET BiTES mempunyai 35 vendor dengan sebahagian besar adalah usahawanita, khususnya kalangan ibu tunggal dan suri rumah di seluruh Perak.

Beliau berkata, dia memulakan perniagaan dari rumah pada 2017. Ketika itu sebahagian keuntungan jualan kek digunakan bagi membeli beberapa unit mesin penyejuk (chiller) yang kemudiannya ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan sekitar negeri ini bagi menjual produknya itu.

"Pada 2019 saya meletak chiller di beberapa pusat komuniti daerah dengan menggalakkan usahawan kecil, terutama wanita di kampung meletakkan produk mereka di chiller saya. Saya ambil produk mereka dan buatkan sticker (pelekat) jenama mereka sendiri," katanya kepada BH.

Noor Syahira berkata, penyertaannya sebagai peserta empowerNCER Perak Daerah Bagan Datuk bagi Kursus Artisan Dough & Pastri Batch 2022/2024 meluaskan lagi perniagaannya apabila berhasil membuka premis kedai. Ia hasil bimbingan dan bantuan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang mengendalikan kursus itu.

Menurutnya, pendapatannya juga kini melonjak tiga kali ganda selepas mengikuti kursus terbabit.

"Tamat sahaja kursus, saya terus membuka kedai dengan berbekalkan bantuan kit permulaan berupa barangan membuat hidangan berkaitan pencuci mulut bernilai sekitar RM2,000. Sejak membuka kedai setahun lalu, saya 'perlahankan' operasi jualan di chiller dan menumpukan operasi di kedai," katanya.

Perniagaan diusahakan itu dipergiatkan lagi dengan menawarkan servis membaiki telefon bimbit di kedai sama yang turut dikendalikannya sendiri.

Usaha meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan khususnya golongan B40 menerusi keusahawanan adalah antara aspirasi Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang selaras dengan satu daripada agenda pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah flagship Koridor TVET Malaysia.

Berita Harian X