Isnin, 20 Mei 2024 | 5:02pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (dua dari kiri) diiringi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika melawat tapak Kolam Takungan Banjir di Kampung Bohol, Mukim Petaling Kuala Lumpur. NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (dua dari kiri) diiringi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika melawat tapak Kolam Takungan Banjir di Kampung Bohol, Mukim Petaling Kuala Lumpur. NSTP/Hairul Anuar Rahim

KTB di Kampung Bohol perlu dilaksana segera – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR: Projek Kolam Takungan Banjir (KTB) di Kampung Bohol perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah banjir, sekali gus membuka potensi pembangunan di kawasan sekitarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pelaksanaan projek itu perlu diutamakan kerana masalah banjir sebelum ini memberi kesan yang besar kepada penduduk setempat.

"Ada keutamaan melaksanakan dengan segera projek KTB untuk memastikan masalah banjir yang memberi kesan sangat besar kepada penduduk setempat dapat diatasi.

"Pelan asal keluasan pembinaan KTB adalah 61.37 ekar (24.548 hektar), namun diperluaskan kepada 63.47 ekar (25.388 hektar) mengikut pelan terbaru," katanya kepada media selepas melawat tapak projek itu, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat tertutup di Kompleks Komuniti Kampung Muhibbah bagi mendengar penjelasan mengenai projek berkenaan.

Dr Zaliha berkata, setiap aspek berkaitan projek KTB sudah diperhalusi dan perancangan pembangunan akan dinilai semula selepas projek siap.

Katanya, tapak berkenaan sesuai untuk dibina KTB dan diperlukan kerana berdekatan dengan kawasan yang berlaku banjir sebelum ini.

"Kita telah beri syarat supaya pembinaan KTB perlu didahului sebelum mana-mana perancangan pembangunan dikemukakan dengan mengambil kira segala aspek.

"Ia termasuk kapasiti tanah tanah itu sendiri, pelaksanaan kajian Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) mahupun impak kepada sosial," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata satu daripada enam plot tanah yang diberikan pemaju adalah kawasan yang sebelum ini sebahagian daripada kolam tadahan yang diwartakan.

"Pemaju telah mengambil tanah seluas 4.4 ekar (1.76 hektar) daripada tanah kolam yang sudah diwartakan. Ini tidak harus diberikan kepada pemaju kerana ia akan membuatkan saiz kolam mengecil.

"Pemaju perlu buat Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) kerana melakukan pembangunan di tanah yang sepatutnya menjadi kolam banjir," katanya.

Berita Harian X