Isnin, 20 Mei 2024 | 1:34am

UNIMAS meterai MoU, MoA dengan 4 universiti terkemuka Uzbekistan

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) dan dua memorandum perjanjian (MoA) dengan empat universiti terkemuka di Uzbekistan sempena Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia yang berlangsung di Samarkand, Uzbekistan, kelmarin.

UNIMAS berkata, memorandum berkenaan ditandatangani Naib Canselornya, Prof Dr Ahmad Hata Rasit, dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev.

Empat universiti terbabit ialah Tashkent State University of Economics, The International School of Finance Technology and Science (ISFT Institute), Renaissance Education University dan Turan International University.

"Kolaborasi yang signifikan ini adalah kerjasama peringkat global dalam bidang akademik serta penyelidikan untuk Malaysia dan Uzbekistan.

"MoU dan perjanjian ini bertujuan memupuk kerjasama meluas dalam pelbagai bidang, termasuk pertukaran pelajar dan pensyarah, program mobiliti antarabangsa, kerjasama penyelidikan, geran padanan antarabangsa serta inisiatif latihan dan pembangunan.

"Usaha ini tentunya akan meningkatkan kerjasama pendidikan tinggi dan budaya antara Malaysia dengan Uzbekistan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada masa sama, UNIMAS merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri; Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); dan Kementerian Luar; selain Kementerian Pendidikan Uzbekistan dan Kedutaan Uzbekistan di Malaysia atas sokongan yang diberikan.

"Kerjasama strategik ini menandakan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan akademik dan budaya antara Malaysia dengan Uzbekistan, membuka jalan untuk kerjasama masa depan serta pembangunan bersama untuk kedua-dua negara," katanya.

Berita Harian X