Ahad, 19 Mei 2024 | 4:20pm

Jika ada bukti pindah minyak, Malaysia akan bekerjasama

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti pemindahan kapal ke kapal minyak Iran di perairan Malaysia, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga ini, Amerika Syarikat (AS) tidak memberikan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan itu.

"Jika ada, maka kita perlu mengawalnya. Setakat ini, kita terima keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi sudah tentu, kita tidak bersetuju dengan sekatan sebelah pihak yang dikenakan oleh AS.

"Pendirian kita ialah sekatan hanya boleh diputuskan oleh PBB. Jika mereka (AS) mempunyai bukti, sudah tentu kami perlu menghentikan (entiti Malaysia daripada terbabit dalam aktiviti yang diharamkan oleh sekatan PBB)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara 'Talk To Al Jazeera', yang disiarkan pagi tadi.

Pada 9 Mei lalu, Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan AS, Brian Nelson, mendakwa AS sudah memantau pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan Malaysia.

AS percaya perairan Malaysia dan sekitar rantau ini digunakan sebagai lokasi untuk minyak Iran dijual kepada pembelinya bagi mengelak sekatan AS ke atas negara itu.

Anwar berkata, pihaknya sudah memberikan aku janji yang jelas bahawa Malaysia tidak melanggar peraturan antarabangsa.

"Sekiranya ada bukti, Malaysia pasti akan bekerjasama. Tiada persoalan mengenainya," katanya.

Menjawab sekatan AS ke atas empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia pada Disember tahun lalu, Anwar berkata, AS perlu mengemukakan bukti.

Syarikat-syarikat itu dituduh sebagai pihak yang menyokong pengeluaran dron Iran.

"Anda boleh menggunakan kuasa, tetapi anda perlu memberikan bukti dan saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan memberikan semua sokongan yang diperlukan.

"Tiada tindak balas daripada kerajaan. Kita perlu terus berbincang. Kita perlu mempertahankan hak syarikat kami, jika mereka tidak melanggar undang-undang antarabangsa atau keputusan PBB.

"Anda tidak boleh cuba dan membuli negara-negara kecil, terutamanya rakan setia yang lama," katanya.

Berita Harian X