Ahad, 19 Mei 2024 | 11:50am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Kenapa lebah makin berkurang di Semenanjung

GEORGETOWN: Meskipun ramai yang takut dengan lebah kerana sengatannya menyakitkan, serangga itu mempunyai peranan penting dalam ekosistem, khususnya dalam bio-kepelbagaian dan keseimbangan alam sekitar.

Bagaimanapun lebah kini berada dalam senarai spesies terancam dan dianggarkan tahap kemusnahan serangga itu telah meningkat 42 peratus.

Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow, berkata ketika ini amat sukar untuk menemukan sarang lebah di Semenanjung, malah ramai pemelihara lebah tradisional sendiri akui koloni lebah juga semakin berkurangan.

Beliau berkata, penggunaan racun perosak pada tanaman, baja sintetik, tanaman yang diubah suai secara genetik dan perubahan iklim antara punca utama populasi lebah di negara ini semakin berkurangan.

"Penggunaan racun perosak secara berleluasa mengancam kehidupan lebah hingga menyebabkan bilangannya semakin berkurangan, di samping pembangunan tanah secara tidak terancang, turut beri kesan terhadap habitat serangga mesra pendebunga itu," katanya.

Subbarow menjelaskan, sebahagian besar lebah telah kehilangan sumber makanan yang diperlukan untuk terus hidup dan punca utama disebabkan penggunaan bahan kimia dalam racun makhluk perosak serta baja tiruan yang boleh menjejaskan sistem saraf serangga itu.

"Kepentingan lebah tidak boleh dinafikan kerana ia bertanggungjawab kepada 90 peratus bekalan makanan dunia. Kira-kira 70 daripada 100 tanaman penting untuk makanan manusia yang membekalkan sehingga 90 peratus pemakanan dunia, didebungakan lebah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan masyarakat supaya membuka lebih banyak ladang organik kerana ia cenderung menyokong kepelbagaian biologi yang lebih tinggi dan kesihatan lebah yang lebih baik sekali gus, mencegah kepupusan seragga itu.

Subbarow turut mencadangkan untuk menanam beberapa tanaman makanan sendiri tanpa menggunakan racun makhluk perosak dan baja sintetik selain sayuran berbunga, buah-buahan dan herba juga dapat menarik lebah.

Dalam usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan menyelamatkan lebah, CAP turun padang mengadakan sesi ceramah di sekolah, termasuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pengkalan Hulu, Perak yang dihadiri 100 murid dan guru dari tiga sekolah sekitar.

Esok adalah Hari Lebah Sedunia yang disambut 20 Mei setiap tahun bagi mengikitiraf peranan lebah dan pendebunga lain dalam ekosistem.

Dianggarkan lebih 16,000 spesies lebah dikenal pasti dalam tujuh keluarga biologi di seluruh dunia yang mempunyai tumbuhan berbunga kecuali di Antartika.

Berita Harian X