Sabtu, 18 Mei 2024 | 10:19pm

'Tak mampu tahan air mata sepanjang 7 jam perjalanan jenazah Ami dibawa pulang'

TANJUNG MALIM: "Di luar, saya kelihatan kuat tetapi di dalam, saya menangis waktu tengah malam... 20 tahun hidup bersama dan dua tahun pergi ke Ulu Tiram, akhirnya pulang kepada saya dalam keadaan terbujur kaku."

Itu luahan Azhar Khaiden, 54, bapa kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, awal pagi semalam.

Perasaan sayu itu dikongsikan Azhar dengan pemberita selepas jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, dekat Bidor, di sini, kira-kira jam 7.20 malam tadi.

Azhar berkata, hatinya sebak sehingga beliau tidak mampu menahan air mata ketika melihat keranda Allahyarham yang mesra dipanggil sebagai Ami itu, sepanjang tempoh tujuh jam perjalanan dibawa pulang dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, ke kediaman mereka di sini, hari ini.

"Apabila pandang (keranda Allahyarham), menitik air mata. Apabila saya mengimamkan solat jenazah di rumah tadi, saya tidak boleh lagi tahan (linangan air mata).

"Sebelum ini, kita boleh nampak dia tetapi sekarang sudah hilang dari pandangan mata. Itu takdir yang saya alami... siapa yang pernah alami pasti lebih memahami.

"Kalau anak kucing yang kita bela mati pun kita sedih, inikan pula anak kandung sendiri," katanya.

Azhar yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelah memaklumkan bahawa isterinya, Nurhaliza Awaluddin, 49, juga masih bersedih atas pemergian mengejut anak keempat daripada lapan beradik itu.

Justeru bagi memulihkan semangat isterinya, beliau sekeluarga berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mempertimbang untuk memindahkan abang Allahyarham, Lans Koperal Ahmad Azza Fitri Azhar, 24, yang bertugas di Balai Polis Pulau Gaya, Sabah, ke Perak.

"Anak lelaki kami ada dua, seorang sudah pergi. Seorang lagi ada tetapi jauh... tolong dekatkan supaya dapat memulihkan semangat isteri saya," katanya.

Azhar berkata, adik perempuan Allahyarham, iaitu Nur Azza Assyaadah, 19, pula dijadualkan menghadiri temu duga bagi memohon perjawatan polis di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, Selasa minggu depan.

Katanya, beliau sekali gus berharap anaknya itu boleh menjadi galang ganti Ahmad Azza Fahmi dalam berkhidmat kepada negara.

Dalam pada itu, Azhar turut merakamkan penghargaan kepada pasukan PDRM yang hadir ke tanah perkuburan dan membantu proses menguruskan jenazah Allahyarham.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Dalam kejadian serangan jam 2.45 pagi semalam, Ahmad Azza Fahmi terkorban akibat ditetak oleh seorang lelaki bertopeng di Balai Polis Ulu Tiram.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut akibat ditembak di bahagian bahu dan perut oleh individu sama.

Selain itu, Koperal Mohd Hasif Roslan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, manakala suspek lelaki berusia 30-an ditembak mati.

Azhar (berbaju Melayu biru) mengimamkan solat jenazah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi di kediaman keluarga di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Azhar (berbaju Melayu biru) mengimamkan solat jenazah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi di kediaman keluarga di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Berita Harian X