Sabtu, 18 Mei 2024 | 8:21pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - NSTP/FOTO FAIL
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - NSTP/FOTO FAIL

Siasatan lanjut dapati lelaki serang Balai Polis Ulu Tiram bukan anggota JI - KPN

KUALA LUMPUR: Suspek menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi semalam dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI) berdasarkan siasatan awal polis dan sejarah mengaitkan bapanya sebagai bekas anggota organisasi berfahaman militan dan ekstremisme itu.

Siasatan lanjut, jelas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, bagaimanapun mendapati lelaki terbabit dalam insiden serangan mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi, bukan anggota JI.

"Ya suspek disahkan bukan anggota JI. Dapatan ini hasil siasatan lanjut yang dijalankan pihak polis," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau memaklumkan, kenyataannya semalam mengenai pembabitan suspek dalam JI adalah berdasarkan siasatan awal polis selain sejarah mengaitkan bapa lelaki itu sebagai bekas anggota JI.

Mengenai motif serangan, Razarudin berkata, ia masih lagi dalam siasatan polis.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Johor, hari ini berkata siasatan polis mendapati suspek dalam kes itu bertindak sendirian didorong motivasi dan kefahamannya sendiri.

Menurut beliau, kesimpulan itu ia dibuat selepas polis selesai menemubual 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek dan serangan berdarah berkenaan.

"Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak sendirian, kita panggil 'lone wolf', didorong motivasi kefahamannya, malah dia dan keluarga juga tidak bercampur dengan masyarakat.

"Oleh itu, serangan suspek di Balai Polis Ulu Tiram adalah terpisah daripada misi besar atau kumpulan terancang, tidak ada," katanya.

Dalam kejadian serangan pada jam 2.54 pagi semalam, suspek berusia 21 tahun itu ditembak mati polis,

Anggota polis yang maut ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera ditembak dilaporkan stabil dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Sehubungan itu, tujuh individu ditahan termasuk lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun, susulan serbuan di sebuah kediaman di Ulu Tiram, semalam.

Dua lagi yang ditahan adalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X