Sabtu, 18 Mei 2024 | 3:31pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan ADUN Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan ADUN Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

'Terima kasih Dr Akmal...' - Ab Rauf

MELAKA: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh kerana menyegerakan pembelian kerusi dan meja untuk sebuah bilik darjah Sekolah Rendah Agama (SRA) di Jasin.

Ketua Menteri juga memaklumkan, isu membabitkan EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ketua Pemuda UMNO dengan pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan perkara itu sudah diselesaikan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Dr Akmal kerana telah menyegerakan pembelian kerusi dan meja menggunakan wangnya sendiri untuk membantu sekolah berkenaan," katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Beliau ditemui media selepas Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka 2023 di Banda Hilir, di sini malam tadi.

Ketua Menteri mengulas isu ketiadaan kerusi dan meja yang tular selepas Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin memuat naik video lawatan beliau ke sekolah itu, Selasa lalu.

Dalam video berkenaan, seramai 34 murid SRA JAIM Ayer Merbau dilihat terpaksa duduk di atas lantai ketika belajar susulan kelewatan agensi bertanggungjawab membekalkan kerusi dan meja berlarutan sehingga lima bulan.

Berikutan itu, Dr Muhamad Akmal mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli 34 set kerusi dan meja untuk murid Tahun Tiga SRA terbabit, dalam tempoh 24 jam selepas lawatan berkenaan.

Ab Rauf mengakui perlu ada penambahbaikan terhadap kerenah birokrasi yang masih lagi wujud dalam kalangan jabatan serta agensi kerajaan negeri ketika ini.

"Ada yang perlu ditambah baik khususnya jabatan yang membabitkan pendidikan seperti JAIM berkaitan isu ketiadaan kerusi dan meja di sebuah kelas SRA Ayer Merbau.

"Kerajaan negeri akan melihat, memantau dan memberikan kaedah penambahbaikan supaya sistem birokrasi dalam pembelian ini juga (meja dan kerusi) boleh dipercepatkan memandangkan bajet telah diluluskan pada Disember lalu.

Memuji langkah Dr Muhamad Akmal yang sangat prihatin dan mengeluarkan wang sendiri membeli kelengkapan terbabit, Ketua Menteri menasihatkan semua pihak mencari titik keharmonian dalam menyelesaikan isu berbangkit bagi mengelakkan pandangan negatif rakyat.

"Dalam hal ini, saya harap (hubungan) pegawai JAIM dan ADUN berkenaan dapat dimurnikan dengan bijaksana, bukannya dengan jawapan penuh sindiran dan emosi bagi mengelak pandangan serong masyarakat terhadap kedua-dua pihak," katanya.

Ab Rauf berkata, bukan semua SRA JAIM berada dalam keadaan daif dan semua pembelian peralatan pembelajaran telah diuruskan dengan baik sejak 2020.

"Sebanyak 95 peratus kemudahan dan peralatan pembelajaran termasuk kerusi dan meja di sekolah berkenaan (SRA Ayer Merbau) telah lengkap, hanya sebuah kelas sahaja (kerusi dan meja) belum sampai lagi," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Ab Rauf berkata, prestasi kutipan zakat di Melaka meliputi zakat harta dan zakat fitrah merekodkan peningkatan sebanyak 4.94 peratus kepada RM66.9 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 16 Mei tahun ini berbanding RM63.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, zakat fitrah merekodkan kutipan RM6.18 juta, meningkat sebanyak 7.41 peratus berbanding 2023.

"Tahun lalu, Zakat Melaka berjaya mengutip keseluruhan zakat berjumlah RM128.3 juta dan tahun ini, kita sasarkan kutipan RM135 juta, sekali gus memastikan zakat yang dikutip dapat diagihkan sepenuhnya kepada asnaf yang berhak," katanya.

Menurut Ab Rauf, sehingga Mac lalu, MAIM telah membelanjakan RM35.2 juta dana zakat untuk diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang berhak dan layak dibantu bagi memastikan kelangsungan kehidupan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, Zakat Melaka perlu kreatif menggunakan teknologi dan platform media sosial untuk menyebarluaskan maklumat kepentingan membayar zakat seperti yang termaktub dalam Rukun Islam, sekali gus menarik umat Islam berzakat.

"Saya mahu warga kerja Zakat Melaka cakna dengan perubahan teknologi semasa dan perlu mengadaptasinya seiring dengan penerimaan rakyat agar proses pembayaran zakat dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan pantas," katanya.

Berita Harian X