Jumaat, 17 Mei 2024 | 7:33pm
Lokasi kejadian dua anggota polis ditembak,satu anggota cedera dan seorang suspek meninggal dunia di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Lokasi kejadian dua anggota polis ditembak,satu anggota cedera dan seorang suspek meninggal dunia di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. NSTP/Nur Aisyah Mazalan

15 tahun selepas Noordin Mohd Top disemadikan Jemaah Islamiyah muncul kembali di Ulu Tiram

KUALA LUMPUR: "Masalah keganasan itu tidak akan hilang dengan kematian seorang, orang itu tidak penting tetapi fahamannya, …apa yang ada di dalam otak dan hati itu adalah lebih berbahaya dan boleh menjadi ancaman jika dibiarkan."

Itu kata-kata bekas pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI) Nasir Abbas dalam temu bual bersama BERNAMA hampir 15 tahun lalu, selepas kematian warga Malaysia Noordin Mat Top, ketua kumpulan serpihan radikal dikenali Tandzim Al-Qoidah Indonesia, yang maut dalam operasi pasukan khas antikeganasan Indonesia Detasmen Khusus

88 di Kepuhsari, Solo, Jawa Tengah pada 17 September 2009.

Nasir merupakan Ketua Mantiqi III JI yang bertanggungjawab terhadap operasi kumpulan pengganas itu di Labuan, Sabah, selatan Filipina dan Sulawesi sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia pada 2003 dan dipenjara selama 10 bulan.

Selepas keluar daripada penjara, warga Malaysia itu telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam program deradikalisasi bagi membantu rakan-rakannya yang lain untuk meninggalkan fahaman militan dan ekstremisme.

Justeru adalah tidak mengejutkan apabila selepas lebih satu dekad jasad pengganas nombor satu Asia itu disemadikan di Pontian, Johor, fahamannya masih 'hidup', malah kata-kata Nasir itu seakan menjadi realiti apabila

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini memaklumkan suspek lelaki yang ditembak mati dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram di Johor awal pagi tadi, dipercayai anggota kumpulan JI.

Kenyataan beliau bahawa lebih 20 ahli JI dikenal pasti berada di Johor pada ketika ini juga seolah-olah mengimbau kembali peristiwa bagaimana negeri di selatan tanah air itu pernah menjadi 'medan usrah' ahli kumpulan pengganas berkenaan di Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram sekitar tahun 1996 dan 1997.

"Bapa suspek (insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram) adalah ahli Jemaah Islamiyah di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan JI," kata Razarudin pada sidang medianya pagi tadi.

Madrasah itu difahamkan menjadi lokasi berkumpul Nasir dan Noordin bersama sahabatnya pakar bom Dr Azahari Hussin, selain pengasas bersama kumpulan Jemaah Islamiyah dari Indonesia Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar.

Ketika di "zaman kemuncaknya", madrasah itu menjadi tempat tersemainya fahaman militan dan ekstremisme sebelum ia ditutup oleh pihak berkuasa.

Ulu Tiram terletak kira-kira 19 kilometer daripada bandar Johor Bahru, di dalam Parlimen Tebrau di bawah seliaan Majlis Bandaraya Johor Bahru dengan penduduk seramai 14,717 orang .

Mengulas mengenai insiden serangan hari ini, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan, berkata terdapat kemungkinan serangan di balai polis sehingga mengakibatkan dua anggota polis maut itu didalangi generasi baharu JI dalam negara.

"Boleh saya katakan ia bukan dilakukan oleh anggota asal JI, namun mungkin masih ada saki-baki anggota pengganas lama dan penceramah daripada luar yang mendorong mereka (generasi baharu) melakukan serangan itu.

"Simboliknya serangan ke atas balai polis itu kerana secara tradisinya polis ialah simbol kekuatan dan kedaulatan kerajaan dan paling tidak pun mereka mahu tawan balai itu seterusnya mendapatkan bekalan senjata," katanya kepada Bernama.

Azmi yang juga Felo Majlis Profesor Negara berkata modus operandi itu menyerupai gerak kerja pengganas militan Al-Ma'unah kira-kira dua dekad dahulu yang menyerang kem tentera untuk mendapatkan bekalan senjata.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan Nasional, Datuk Dr Ruhanie Ahmad berharap tragedi yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram itu disiasat terperinci bagi mengenal pasti sekiranya ada mana-mana organisasi pengganas baik di peringkat serantau mahupun sejagat terlibat.

Beliau berkata, ia penting agar tidak ada mana-mana pihak bermain persepsi susulan kejadian itu, kononnya Malaysia adalah sarang kepada pertubuhan keganasan di Asia Tenggara.

"Kita perlu waspada akan wujudnya pelbagai elemen kuasa besar dunia yang sentiasa mahu memainkan isu terorisme untuk membolehkan mereka masuk campur dalam urusan keselamatan nasional di sesebuah negara yang strategik kepada kepentingan geopolitik mereka di Asia Tenggara, seperti Malaysia," katanya.

Ruhanie pada masa sama menzahirkan keyakinan kepada kredibiliti pasukan keselamatan negara untuk menangani kes berkenaan.

Dua anggota polis masing-masing berumur 22 tahun dan seorang suspek berumur 21 tahun maut dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi tadi, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan tercedera. – BERNAMA

Berita Harian X