Jumaat, 17 Mei 2024 | 4:26pm
Johni menunjukkan replika cek RM1,000,000 yang dimenanginya selepas diumumkan pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP ke-99. - Foto NSTP/Yun Mikail
Johni menunjukkan replika cek RM1,000,000 yang dimenanginya selepas diumumkan pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP ke-99. - Foto NSTP/Yun Mikail

Dulu penoreh getah, kini jutawan

KOTA BELUD: Bagai bulan jatuh ke riba. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan nasib seorang penoreh getah apabila kini bergelar jutawan selepas diumumkan pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP ke-99.

Hasil cabutan berkenaan, Johni Satur, 57, membawa pulang RM1 juta.

Johni berkata, dia membeli Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) pada tahun 2022 selepas disarankan anak lelakinya.

"Saya masih rasa seperti mimpi dapat menang RM1 juta. Malah saya lambat memberi respon ketika dihubungi pihak BSN minggu lalu kerana bimbang ia adalah suatu skim penipuan.

"Selepas beberapa kali diyakinkan, barulah saya percaya menjadi seorang pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP," katanya ditemui di Kampung Lasau Minunsud pada Khamis.

Turut hadir menyampaikan hadiah kemenangan adalah Ketua Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Johni berkata, pendapatan diterima sebagai penoreh getah setiap bulan hanyalah RM500 sebulan dan jumlah itu pastinya tidak mencukupi bagi perbelanjaan keluarga.

Mengulas mengenai kemenangannya, bapa kepada lima cahaya mata berusia antara tujuh hingga 30 tahun itu merancang membina sebuah rumah baharu di tapak lain demi keselesaan keluarga.

Selain itu, Johni menyatakan wang dimenangi itu juga bakal digunakan untuk pendidikan anak-anak ekoran masih memilik dua lagi anak bersekolah Darjah Satu dan Tingkatan Enam.

Sementara itu, anak keduanya, Romexh Johni, 27, berkata dia meminta wang kemenangan itu disimpan dalam akaun BSN agar lebih selamat kerana bimbang bapanya menjadi mangsa penipuan.

"Awalnya saya tidak tahu tentang peraduan ini sehingga dimaklumkan di kaunter BSN.

"Kebetulan bapa saya juga memang salah seorang pelanggan yang menyimpan wang di BSN selama ini," katanya yang juga graduan dalam bidang pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu.

Berita Harian X