Jumaat, 17 Mei 2024 | 3:51pm
Cadangan bukan Bumiputera ikuti program pasca siswazah satu tindak balas kecemasan negara - Dr Kelvin Yii. -Foto NSTP
Cadangan bukan Bumiputera ikuti program pasca siswazah satu tindak balas kecemasan negara - Dr Kelvin Yii. -Foto NSTP

Cadangan program pasca siswazah UiTM tak cabar keistimewaan Bumiputera, perlembagaan - DAP

KUALA LUMPUR: Cadangan program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak mencabar kedudukan istimewa atau hak perlembagaan Melayu dan Bumiputera seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua DAPSY Kebangsaan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, cadangan itu adalah satu tindak balas kecemasan negara, khususnya dalam menyediakan dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

Katanya, kekurangan doktor pakar pembedahan jantung ketika ini amat kritikal dan pilihan jangka pendek yang ada adalah untuk mencadangkan agar UiTM menerima pelajar bukan Melayu untuk melanjutkan pelajaran mereka di institusi itu.

"Ia didorong oleh faktor bahawa UiTM mempunyai formula silibus kurikulum yang terbaik di dalam pembedahan jantung.

"Malah, pelajar akan dipindahkan ke Universiti Malaya (UM) selepas program Sarjana Pembedahan Jantung mereka digubal dengan lengkap sepenuhnya kelak," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kelmarin, bekas felo pelawat Universiti Melbourne, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, dilapor berkata sudah tiba masanya Akta UiTM 1976 yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera dikaji semula mengikut keperluan semasa.

Bekas ahli akademik itu berkata, UiTM seharusnya membuka pintu kepada pelajar bukan Bumiputera dengan bersyarat, iaitu hanya untuk kursus pasca siswazah.

Reaksi kepad cadangan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tiada perbincangan dibuat mengenai cadangan untuk memperluas program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks di UiTM kepada mahasiswa bukan Bumiputera, setakat ini.

Katanya, ada beberapa perkara asas perlu ditekankan sebelum mempertimbangkan cadangan untuk menerima pelajar bukan Bumiputera bagi program berkenaan.

Kelvin berkata, Malaysia memerlukan 90,057 orang doktor pada 2025 dan 114,187 orang doktor pada tahun 2030.

"Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan pada tahun 2025, negara kita akan mempunyai populasi penduduk sebanyak 36,022,700 dan sebanyak 38,062,200 populasi penduduk sebanyak 2030.

"Sektor awam memerlukan sekurang - kurangnya 30 peratus doktor pakar. Ini bermakna kita memerlukan seramai 18,912 (2025) dan 23,979 (2030) doktor pakar di sektor awam kelak.

"Berdasarkan data terkini, KKM menganggarkan hanya mampu menghasilkan 19 peratus doktor pakar pada tahun 2025, kurang 11 peratus bagi mencapai sasaran sebanyak 30 peratus," katanya.

Beliau berkata, bagi pengkhususan kepakaran Pembedahan Jantung, negara memerlukan nisbah doktor pakar 1:500,000 pada tahun 2025, dan 1:450,000 pada tahun 2030.

"Berdasarkan kepada kadar nisbah semasa, kita kekurangan 15 peratus tenaga pakar pembedahan jantung yang diperlukan pada tahun 2030. Perkara ini amat membimbangkan dan ia memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan negara dan kualiti perkhidmatan kepada pesakit yang amat serius jika masalah ini tidak ditangani dengan baik

"Ramai pesakit yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan atau setahun bagi mendapatkan pembedahan jantung dan amat menyedihkan kerana ada yang meninggal dunia sementara menunggu giliran rawatan mereka," katanya.

Berita Harian X