Jumaat, 17 Mei 2024 | 11:26am
- FOTO HIASAN.
- FOTO HIASAN.

Cabaran media baharu tuntut kemahiran literasi digital

KUALA LUMPUR: Kemahiran memahami, menganalisis dan seterusnya membuat penilaian terhadap sesuatu kandungan menjadi antara komponen penting literasi media pada era digital hari ini.

Aspek itu penting susulan kehadiran media baharu yang dilihat bebas menyebar luas sebarang kandungan lantaran tiada pengampang maklumat sebagaimana media konvensional.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad, berkata dalam senario maklumat tanpa sempadan hari ini, sesiapa sahaja boleh menghasilkan bahan 'berita' yang kemudian disebarkan secara meluas tanpa kawalan.

"Keadaan ini menimbulkan isu kesahihan serta kewibawaan sesuatu berita di media baharu. Justeru, masyarakat perlu mempunyai kemahiran untuk menilai sesuatu maklumat atau berita bagi memastikan kebolehpercayaan kandungan itu.

"Media baharu bukan sahaja berfungsi sebagai perantara untuk menyalurkan maklumat, namun lebih daripada itu institusi berkenaan kini menjadi antara komoditi penting dalam pelbagai sektor.

"Literasi media menumpukan kepada keupayaan pengguna menganalisis media secara kritikal, penggunaan secara beretika dan kemahiran menghasilkan kandungan. Berdasarkan situasi semasa, literasi media juga boleh diungkapkan sebagai literasi digital dengan mengambil kira ekosistem media baharu," katanya,

80 peratus rakyat aktif media sosial

Mohd Khairie berkata, konsep literasi media secara ilmiahnya mula diagendakan sekitar 1960-an dan ketika itu, penggunaan media massa dikaitkan dengan keperluan sosial dan psikologi masyarakat, di samping sebagai alat penting dalam proses membangunkan negara.

"Apabila dunia beralih ke era teknologi komunikasi dan maklumat, maka bermulalah agenda literasi media dalam perspektif baharu. Umumnya, literasi media dalam kalangan masyarakat di Malaysia sudah ada, namun perlu dipertingkatkan seiring kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat," katanya.

Merujuk laporan DataReportal di laman web https://datareportal.com/reports/digital-2024-malaysia, terdapat seramai 33.59 juta pengguna internet di Malaysia pada awal 2024, dengan kadar penembusan internet mencapai 97.4 peratus.

"Menurut laporan itu juga, sebanyak 28.68 juta rakyat atau 83.1 peratus populasi negara ini adalah pengguna aktif media sosial pada Januari 2024," katanya.

Turut dinyatakan dalam laporan itu ialah Analisis Kepios - sebuah laman web yang memberi pencerahan perkara sebenar dilakukan oleh masyarakat semasa dalam talian - menunjukkan pengguna internet di Malaysia meningkat sebanyak 357,000 (peningkatan 1.1 peratus) antara Januari 2023 dan Januari 2024.

Beliau berkata, berdasarkan data berkenaan, dapat ditakrifkan wujud kemahiran penggunaan media, namun isu seterusnya yang dibangkitkan ialah kemahiran dari segi menganalisis, menilai dan menggunakan media baharu secara beretika.

"Sebagai contoh, media tempatan melaporkan 36,030 kes jenayah dalam talian yang mengakibatkan kerugian RM1.6 bilion pada 2023, manakala bagi isu berkaitan pelanggaran etika, sebanyak 104 kes disiasat bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, melibatkan isu agama, institusi Raja dan kaum.

"Masalah seperti inilah yang menuntut tahap literasi media yang baik dalam kalangan masyarakat agar dapat dibendung perkara lebih buruk yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara," katanya.

Tapisan kendiri, Mycheck Malaysia

Mohd Khairie yang berpendapat literasi media sukar dicapai secara kolektif sekiranya individu gagal menguasai kemahiran memahami, menganalisis dan menilai kandungan media baharu dengan baik, turut berkata set kemahiran itu juga perlu diiringi amalan tapisan kendiri pengguna.

Tegas beliau, setiap warga siber khususnya, perlu mempunyai sikap untuk tidak berkongsi berita dan maklumat yang tidak sahih, di samping sentiasa berwaspada bagi mewujudkan persekitaran media baharu yang lebih sihat dan harmoni.

"Usaha meningkatkan kesedaran literasi media memang banyak dilaksanakan oleh kerajaan dan pelbagai pihak terbabit. Namun, pada masa sama, masyarakat perlu dididik untuk menerima guna pelbagai inisiatif yang ada dalam ekosistem kesejahteraan digital.

"Hari ini ada pelbagai perisian, pelantar web dan aplikasi berupaya menguji kandungan media baharu dan masyarakat boleh dididik untuk memanfaatkan semua kemudahan itu. Antaranya, pelantar MyCheck Malaysia yang boleh membantu masyarakat menyemak kesahihan sesebuah berita dan maklumat.

"Perisian 'Verify' dan 'Content Credentials' pula boleh digunakan untuk menilai sama ada AI (kecerdasan buatan sebagai unsur manipulasi) telah digunakan dalam penghasilan satu-satu kandungan digital," katanya.

Katanya, perkara asas bagi menerapkan literasi media dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan secara sistematik menerusi kerangka sistem pendidikan sedia ada dan harus dilaksanakan seawal pendidikan prasekolah.

"Antara lain, tubuhkan Majlis Literasi Media Negara yang perlu diwakili pelbagai organisasi masyarakat, agensi awam dan korporat.

"Majlis ini akan berfungsi menasihat dan merangka tindakan dari segi dasar, perundangan dan program bagi menyediakan persekitaran kondusif demi kesejahteraan hidup di era digital," katanya, menambah antara negara yang melaksanakan inisiatif itu ialah Singapura.

Kelemahan individu jadi punca

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, kebergantungan masyarakat pada maklumat di media baharu, khususnya platform media sosial, yang kian meningkat berbanding media arus perdana turut menyumbang kepada cabaran literasi media.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu menggunakan aplikasi media sosial dengan lebih berhemah dan beretika kerana tahap literasi media yang rendah menyebabkan penyebaran berita palsu dan tidak sahih berleluasa di platform berkenaan.

"Kebergantungan tinggi pada media sosial membawa kepada peningkatan isu seperti penyebaran maklumat palsu dan kandungan tidak bermoral. Ada kajian mendapati kelemahan individu dalam literasi media baharu menyebabkan banyak isu kontroversi tersebar.

"Ia termasuk melibatkan geopolitik dan hubungan antara negara. Kelemahan dalam aspek pemantauan dan kawalan kandungan media baharu memburukkan lagi keadaan, termasuk penyebaran kandungan bersifat toksik dan peningkatan kes penyalahgunaan.

"Ini boleh beri impak negatif kepada masyarakat dan negara jika tidak dikawal dengan sekatan undang-undang dan akta tertentu," katanya.

Tidak menolak perkembangan teknologi yang pantas menyukarkan sebahagian masyarakat, terutama golongan berusia dan kurang berpendidikan untuk bergerak seiring dengan perubahan itu, katanya, ia mengakibatkan ada ketinggalan dan gagal memahami cara penggunaan sebenar platform media baharu.

"Kekangan lain ialah kepelbagaian platform media baharu itu sendiri yang memerlukan kemahiran dan pendekatan berbeza untuk menilai kesahihan maklumat kerana setiap platform mempunyai ciri dan cabaran tersendiri.

"Sikap dan kurangnya pengetahuan individu, terutama pempengaruh media sosial dalam aspek literasi media turut menyumbang kepada lambakan isu kontroversi di media sosial, sekali gus memberi kesan kepada masyarakat.

"Malah ada yang sampai ke tahap mempengaruhi kehidupan mereka apabila terlalu obses dengan personaliti kegemaran," katanya.

Fahami manfaat, risiko AI, ChatGPT

Siraj berkata, literasi media memerlukan pendekatan holistik melibatkan pendidikan, kesedaran awam melalui kempen tertentu, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama pelbagai pihak bagi menangani cabaran kepelbagaian platform media baharu pada masa kini.

Menasihatkan masyarakat agar berwaspada akan ancaman siber, beliau berkata, perkembangan teknologi berisiko untuk disalah guna bagi tujuan penyebaran maklumat palsu dan penipuan, termasuk aktiviti jenayah dalam talian.

"Maklumat palsu mudah tersebar secara meluas sekiranya penggunaan teknologi seperti ChatGPT atau algoritma yang dibentuk oleh AI tidak dikawal. Antara kebimbangan yang wujud ialah penggunaan ChatGPT secara berlebihan.

"Ia boleh menyebabkan kebergantungan keterlaluan sehingga mengancam daya pemikiran kritis. Ini boleh memberi kesan negatif terhadap literasi media kerana pengguna mungkin menerima 'bulat-bulat' output ChatGPT tanpa menilai kesahihannya," katanya.

Menurutnya, walaupun tidak dinyatakan secara khusus dalam kajian ilmiah, perkembangan AI seperti ChatGPT yang mampu menjana kandungan realistik berpotensi membuka ruang untuk ancaman siber seperti penipuan identiti, pencurian data dan pelanggaran privasi, jika tidak dikawal sebaiknya.

Beliau memberi contoh terkini isu berkaitan AI dikongsikan laman web Science Daily https://www.sciencedaily.com/releases/2024/05/240510111440.htm#google_vi..., dengan tajuk "AI Systems Are Already Skilled At Deceiving And Manipulating Humans" bertarikh 10 Mei lalu.

Antara yang dibangkitkan dalam artikel itu ialah penyelidik menerangkan risiko penipuan oleh sistem AI dan menggesa kerajaan membangunkan peraturan yang kukuh untuk menangani isu berkenaan secepat mungkin.

"ChatGPT yang dilatih dengan sejumlah besar data daripada pelbagai sumber juga mungkin menyukarkan pengguna untuk menilai kesahihan maklumat yang dijana kerana sumbernya tidak jelas.

"Justeru, walaupun ChatGPT mempunyai banyak potensi aplikasi yang bermanfaat, perkembangannya perlu dikawal dan diawasi dengan teliti bagi mengelakkan penyalahgunaan serta menangani cabaran literasi media dan ancaman siber yang mungkin berlaku," katanya.

Bagi menangani isu ini, beliau menyarankan agar kerajaan dan pihak berkenaan menyediakan peruntukan kewangan dan sumber mencukupi bagi menjalankan program pendidikan dan kempen literasi media.

Selain itu, katanya, kerajaan juga harus memperkenalkan dasar dan perundangan baharu lebih komprehensif berkaitan literasi media dan keselamatan siber, selain memperhebat penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi membendung penyalahgunaan media baharu, khususnya untuk tujuan jenayah siber.

Berita Harian X