Jumaat, 17 Mei 2024 | 10:42am
Empat fokus diberikan keutamaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam memastikan kualiti pendidikan di Tabika dan Taska bawah pentadbirannya menepati matlamat yang ditetapkan, seiring peredaran era digitalisasi. - Foto fail NSTP
Empat fokus diberikan keutamaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam memastikan kualiti pendidikan di Tabika dan Taska bawah pentadbirannya menepati matlamat yang ditetapkan, seiring peredaran era digitalisasi. - Foto fail NSTP

KEMAS fokus 4 teras lonjak kualiti pendidikan era digitalisasi

KUALA LUMPUR: Empat fokus diberikan keutamaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam memastikan kualiti pendidikan di Tabika dan Taska bawah pentadbirannya menepati matlamat yang ditetapkan, seiring peredaran era digitalisasi.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, berkata fokus itu bagi menepati hasrat kerajaan melalui beberapa inisiatif yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) semalam, antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital.

Katanya, KEMAS mengorak langkah sejak tahun lalu dalam merangka teras berkenaan supaya pendidik bersedia dengan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pendidikan digital semasa.

"Antaranya, meningkatkan keupayaan digital kakitangan melalui pelaksanaan pelbagai kursus, bengkel dan program kecekapan digital pendidik, dengan kerjasama pakar akademik dan pihak industri.

"KEMAS turut menyediakan "talentful", yang mana pendidik yang selesai mengikuti kursus dan berkemahiran akan dijadikan sebagai pakar rujuk dalam bidang berkaitan pendidikan digital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi. - Foto Bernama
Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi. - Foto Bernama

Semalam, sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 2024 , KPM mengumumkan beberapa inisiatif, antaranya melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata inisiatif berkenaan termasuk menyediakan ruang bagi guru meningkatkan kemahiran, menerusi kursus pemerkasaan teknologi, khasnya dalam domain Kecerdasan Buatan (AI) dengan nilai RM1juta, yang menyasarkan 500 guru terpilih di seluruh negara.

Selain itu, katanya, kerjasama KPM dengan Apple Professional Learning Specialist Malaysia turut dilaksanakan bagi melatih dan membimbing 100,000 guru untuk diiktiraf sebagai 'Apple Teacher'.

Ahmad Kamal berkata, KEMAS juga fokus untuk membangunkan bahan pembelajaran secara digital melalui penganjuran Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-Kanak (AIMPAK) dalam usaha mencungkil bakat dalam kalangan pendidik menghasilkan video pembelajaran yang relevan.

Kerajaan katanya, turut meluluskan RM20 juta, tahun ini untuk pelan transformasi digital berkenaan.

"Melalui Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAK) ini, KEMAS berusaha membekalkan kemudahan peralatan teknologi komunikasi maklumat (ICT), seperti komputer riba dan akses internet di kelas TABIKA.

"KEMAS juga sedang membangunkan sistem tadbir urus secara digital yang lebih berkesan, seperti pengenalan kepada e-Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang dapat membantu pendidik membuat rancangan mengajar secara digital," katanya.

Ahmad Kamal turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kerana menjemput KEMAS menjadi sebahagian daripada agensi yang terbabit dalam Program Pencarian Cikgu Juara Digital sejak 2022.

Katanya, sehingga 2024, seramai 17 pendidik Tabika/Taska KEMAS dinobatkan sebagai Cikgu Juara Digital.

Berita Harian X