Jumaat, 17 Mei 2024 | 7:31am

Gabung penggunaan PADU, AI laksana subsidi bersasar lebih saksama

Subsidi bersasar yang bakal dilaksanakan kerajaan bertujuan bantuan dapat disalurkan dengan lebih efektif kepada golongan benar-benar memerlukan, sambil mengurangkan beban kewangan kerajaan. Langkah ini diharap memberi kesan positif kepada ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.

Bagaimanapun, subsidi bersasar memerlukan penstrukturan semula sistem pengagihan bantuan untuk menjamin keadilan. Dalam hal ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan pelaksanaan tidak menjejaskan orang miskin.

Bermakna, rakyat juga perlu memahami tujuan dan manfaat pelaksanaan subsidi bersasar. Setakat ini, kerajaan dilaporkan bersedia melaksanakan program subsidi bersasar selepas data dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dilaporkan boleh 'dihidupkan' pada bila-bila masa.

Namun, dua senario perlu menjadi pertimbangan kerajaan sebelum mengambil keputusan melaksanakan program subsidi bersasar supaya negara tidak berdepan tekanan inflasi mengejut. Matlamat program subsidi bersasar amat baik bagi mengurangkan ketirisan, namun aspek keadilan dan memenuhi obligasi sosial, termasuk golongan M40 dan T20 wajar dipertimbang.

Dua golongan ini adalah pembayar cukai konsisten, namun realitinya sering tidak dapat menikmati banyak faedah berbanding golongan B40 dan ke bawah bersandarkan alasan M40 dan T20 lebih berkemampuan.

Hakikatnya, kehidupan golongan berkemampuan ini, terutama M40 turut terkesan akibat kenaikan kos sara hidup. Pelarasan tarif elektrik dan penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.0 peratus sebenarnya meningkatkan kos sara hidup golongan terbabit.

Justeru, penggunaan frasa 'M40 dan T20 golongan berkemampuan' bagi menjustifikasikan golongan B40 dan ke bawah layak menerima segala bantuan kerajaan sewajarnya diperhalus semula untuk keadilan semua pihak dan rakyat. Atas faktor ini, PADU akan digunakan memastikan subsidi bersasar dapat dilaksanakan.

Dalam hal ini, kerajaan wajar mempelbagaikan kaedah menyalurkan subsidi bersasar dan mewujudkan keadilan kepada rakyat, termasuk menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) untuk mengumpul dan menganalisis data sosioekonomi bagi menentukan kelayakan penerima subsidi.

Berdasarkan data diperolehi, AI dapat membantu mengenal pasti golongan paling memerlukan bantuan. Data daripada sumber seperti pendaftaran kebajikan, data bank dan rekod cukai boleh digabungkan untuk memberikan gambaran tepat mengenai keadaan kewangan penerima.

AI boleh memberikan maklum balas kepada kerajaan mengenai sejauh mana program itu mencapai matlamatnya dan di mana terdapat ruang untuk penambahbaikan. AI membantu mengenal pasti bantuan secara tepat, memantau dan mengesan penipuan dalam pengagihan subsidi, manakala setiap penerima boleh mendapat bantuan disesuaikan dengan keperluan spesifik mereka.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keadilan dalam pengagihan bantuan, tetapi membantu memperkukuh ekonomi negara.

Berita Harian X