Khamis, 16 Mei 2024 | 11:55pm
Hujan lebat berterusan menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di Lebuh raya Thean Teik, sehingga menjejaskan lalu lintas dan bongkah batu yang terjatuh di atas jalan raya di Bukit Baru, Jalan Tun Sardon. - Foto ihsan MBPP
Hujan lebat berterusan menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di Lebuh raya Thean Teik, sehingga menjejaskan lalu lintas dan bongkah batu yang terjatuh di atas jalan raya di Bukit Baru, Jalan Tun Sardon. - Foto ihsan MBPP

Banjir kilat jejas lalu lintas, batu jatuh atas jalan raya

GEORGETOWN: Hujan lebat lebih tiga jam di negeri ini menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat sehingga menjejaskan lalu lintas.

Laluan berkenaan ialah Jalan Thean Teik, Air Itam yang dinaiki air setinggi 0.7 meter sehingga menenggelamkan tayar kenderaan.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi kenyataan di Facebook, berkata keadaan jalan raya terbabit sedikit terjejas berikutan berlaku kenaikan paras air akibat hujan lebat berterusan.

Walau bagaimanapun, laluan itu masih boleh digunakan pengguna jalan raya, namun orang awam dinasihati supaya lebih berwaspada dan fokus kepada pemanduan.

"Setakat jam 9.50 malam, pasukan Skuad Pantas MBPP ditempatkan di kawasan itu bagi bersiap sedia terhadap sebarang tindakan segera dan kecemasan.

"Kita juga menerima laporan mengenai bongkah batu jatuh di atas jalan di Bukit Baru, Jalan Tun Sardon kira-kira jam 10 malam, namun laluan itu masih boleh dilalui," menurut kenyataan itu lagi.

Hujan lebat berterusan menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di Lebuh raya Thean Teik. - Foto ihsan MBPP
Hujan lebat berterusan menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di Lebuh raya Thean Teik. - Foto ihsan MBPP

Menurut MBPP, sebarang aduan mengenai pokok tumbang, tanah runtuh dan sebagainya boleh menghubungi talian Hotline MBPP 04-2637000/04-2637637 atau aplikasi WhatsApp 016-2004082.

Terdahulu, beberapa video kejadian banjir kilat itu tular di media sosial yang memaparkan lokasi terbabit digenangi air berwarna kekuningan.

Video berkenaan turut memaparkan pemandu kenderaan meredah laluan yang dinaiki air.

Laluan berkenaan juga terletak berhampiran dengan Jalan Pintasan Pakej Dua-Air Itam dengan Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Timur Laut Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani, berkata pihaknya tidak menerima panggilan kecemasan namun tetap melakukan pemantauan di lokasi.

"Pemantauan dilakukan lima anggota pasukan Charlie Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Timur Laut sejak jam 8 malam. Ketika pemantauan dijalankan, APM menerima maklumat mengenai penemuan ular sawa dengan anggaran berat kira-kira 10 kilogram di Lorong Semarak api 2, jam 8.37 malam.

"Ular yang dianggarkan sepanjang 1.8 meter itu ditemui pengawal keselamatan di bawah kereta dan tindakan APM ialah menangkap ular berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X