Khamis, 16 Mei 2024 | 6:50pm
Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri) melihat pelan projek ketika melawat Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Persimpangan Tanjong Karang Seksyen 7 Persimpangan Assam Jawa - Tanjung Karang. -Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri) melihat pelan projek ketika melawat Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Persimpangan Tanjong Karang Seksyen 7 Persimpangan Assam Jawa - Tanjung Karang. -Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Enam lagi lebuh raya setuju laksana pembayaran terbuka, September ini

KUALA SELANGOR: Enam lagi lebuh raya bersetuju melaksanakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) bermula September ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Lebuh raya itu adalah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS); Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH); Lebuhraya Linkedua; Lebuhraya Grand Saga; Lebuhraya Grand Sepadu dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).

Beliau berkata, enam lebuh raya itu bakal menyertai 12 konsesi lebuh raya yang sudah melaksanakan SPT sejak sistem yang memudahkan pengguna membuat bayaran di setiap lorong plaza tol itu dilancarkan, September tahun lalu.

"Kalau dulu, pembayaran tol hanya terhad kepada penggunaan Touch n Go, Smart Tag dan RFID, namun dengan SPT, mereka turut diberi pilihan untuk membuat bayaran dengan menggunakan kad kredit dan debit.

"Penyertaan enam lebuh raya ini menyaksikan sebanyak 35 lorong akan dibuka bagi kemudahan atau penggunaa sistem SPT," katanya kepada media selepas meninjau kemajuan pelaksanaan projek di Seksyen 7 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Persimpangan Assam Jawa - Tanjong Karang di sini, hari ini.

Sebelum ini, sistem SPT telah dilaksanakan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP); Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT); Lebuhraya Shah Alam (KESAS); Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX); Lebuhraya Sungai Besi; Lebuhraya Baru Pantai (NPE); Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Lebuhraya Koridor Guthrie; Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Sistem pembayaran tol terbuka yang bermula pada pertengahan September tahun lalu n antara inisiatif kerajaan untuk memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna selain daripada menggalakkan kaedah pembayaran secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), kad Touch n Go dan SmartTag.

Berita Harian X