Khamis, 16 Mei 2024 | 3:18pm

Teknologi tak akan mampu ganti 'interaksi manusiawi' dalam ekosistem pendidikan - Fadhlina

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, generasi fasih digital amat diperlukan dalam persediaan negara menghadapi perubahan dunia teknologi dan digital.

Beliau berkata, antara inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk merealisasikan strategi itu adalah dengan menambah baik jurang digital di antara murid kawasan bandar dan luar bandar.

Dalam perutusan dimuat naik di laman web Kementerian Pendidikan (KPM) sempena sambutan Hari Guru hari ini, beliau berkata, strategi lain ialah menyediakan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara berfasa ke sekolah sejak Mac 2022.

"Ini termasuklah melengkapi kesemua sekolah dengan rangkaian jaringan internet. Selain itu, antara platform terpenting yang disediakan KPM ialah pelantar DELIMa atau Digital Educational Learning Initiative Malaysia .

"DELIMa mengandungi perkhidmatan, aplikasi dan kandungan yang ditambah baik secara berterusan sesuai dengan perkembangan teknologi yang terkini," katanya.

Beliau yakin warga guru sedar bahawa pendidikan ialah proses yang holistik, yang membantu manusia memenuhi keperluan akal (aspek kognitif) dan menyempurnakan kehendak psikologi-emosi manusia (aspek afektif), di samping membangunkan kapasiti jasmani insan (aspek psikomotor).

"Walaupun teknologi hadir sebagai alat bantu, memudah cara dalam pelaksanaan proses pendidikan, namun tetap tidak akan mampu menggantikan 'interaksi manusiawi' dalam ekosistem pendidikan. Pendidikan semestinya perlu kepada 'hi-touch' di samping hi-tech', 'heartware' bukannya 'hardware'.

Sementara itu, katanya, pelbagai impak dan implikasi daripada perubahan global yang berlaku khasnya pasca COVID-19 mencetuskan rasa khuatir dengan anak-anak yang bakal berhadapan segala macam kesulitan era generasi 'pandemials'.

"Namun dalam masa yang sama, kita juga wajar melihat peluang yang terbit daripada kepayahan ini. Pengetahuan digital kunci yang perlu dikuasai pendidik untuk membuka pintu kepada pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak selaras aspirasi Dasar Pendidikan Digital (DPD).

"Paling utama, guru-guru disarankan untuk membangun kompetensi digital secara kendiri bagi memenuhi keperluan dalam melaksanakan tugas. Melalui latihan dan pembelajaran kendiri, mereka akan menjadi peneraju dalam membentuk landskap pendidikan yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata, KPM telah menambah baik ekosistem pendidikan digital, iaitu infrastruktur dan infostruktur dengan usaha berterusan itu untuk membantu dan memberi sokongan kepada pendidik untuk mengintegrasikan pengajaran dan pembelajaran dalam digital.

"Selain itu, untuk membudayakan pengetahuan, kreativiti dan inovasi pendidikan digital dalam kalangan anak-anak kita. Terkadang, ada segelintir yang sinis dengan usaha kita dalam merangka perancangan pendidikan digital ini.

"Ini kerana masih ada anak-anak yang tercicir atau tertinggal daripada asas literasi dan numerasi dalam pendidikan mereka. Keprihatinan mereka ini berasas sebenarnya, namun memang telah kita usahakan 'campur tangan' dan intervensi dalam kurikulum kita sekarang.

"Kita memberi fokus kepada perkara asas yang belum selesai seperti penguasaan 3M' (membaca, menulis dan mengira). Apa yang tidak kita sedari adalah teknologi sebenarnya mampu menjadi solusi untuk mengatasi pelbagai permasalahan pendidikan, termasuklah mengatasi keciciran," katanya.

Ketika pandemik COVID-19, beliau berkata, teknologi membantu walaupun banyak kekurangannya, dalam meneruskan pembelajaran dan yakin masa ke depan, teknologi digital akan mampu mengesan keciciran dan membantu menanganinya.

Justeru, katanya, digitalisasi bukanlah semata-mata suatu keistimewaan kepada anak-anak yang berkemampuan dan yang mempunyai akses, tetapi ia akan diperluas menjadi sebahagian penyelesaian kepada permasalahan yang membelenggu proses pendidikan.

"Dengan pendidikan, manusia memanifestasikan diri, membebaskan diri daripada belenggu kejahilan, menerapkan nilai dan prinsip manusiawi, membangun interaksi dengan kasih sayang, menyubur kesedaran berbakti, dan membangun bersama masyarakat madani.

"Digitalisasi hadir sebagai proses pelengkap dalam memenuhi tujuan dan 'maqsud' pendidikan. Teknologi, merupakan solusi kepada permasalahan dan keciciran dalam pendidikan, di samping membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam proses pendidikan hari ini," katanya.

"Oleh yang demikian, guru jauhari digital yang sedar akan peranan sebagai pendidik insani bertanggungjawab mengintegrasikan teknologi secara efektif dalam proses pendidikan, di samping memastikan murid-murid mahir dan beretika menggunakan peranti digital.

"Ia bagi memenuhi keperluan generasi Alfa, selaras dengan hasrat reformasi pendidikan negara yang sedang diusahakan bersama. Hasrat untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan guru ke tahap jauhari digital adalah sebahagian daripada aspirasi negara MADANI yang kita sasarkan," katanya.

Sementara itu, Fadhlina memberitahu, beliau berkunjung dan melawat banyak institusi pendidikan dan sekolah, termasuk di luar bandar serta pedalaman dan merumuskan memang masih banyak perkara perlu diperbaik, baik dalam konteks infrastruktur dan kemudahan, mahupun akses dan peluang pendidikan.

"Namun pendidikan kita di Malaysia masih bertahan dan gencar bergerak kerana tonggak utamanya, guru. Agenda pendidikan bukan sekadar dan semata-mata fokus kepada aspek prestasi dan kecemerlangan akademik, mahupun prasarana dan fasiliti institusi pendidikan.

"Agenda pendidikan harus dilihat dan disikapi secara menyeluruh, komprehensif dan meliputi keseluruhan horizonnya yang luas. Aspek keinsanan atau dimensi manusiawi wajar menjadi keutamaan dalam pendidikan," katanya menegaskan keperluan utama kependidikan itu mesti dipertahankan.

"Oleh yang demikian, peranan pendidikan sebagai "usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu" sebagaimana terungkap dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan harus diberi penekanan," katanya.

Fadhlina turut menekankan, pendidikan adalah mengenai pembentukan 'otak dan watak', kecemerlangan akademik dan keterpujian sahsiah, yang merangkumi perkembangan ilmu, pembentukan karakter, pemurnian adab dan akhlak serta pengukuhan integriti.

"Pendidikan juga adalah tentang 'interaksi', kesalingan hubungan antara sesama manusia. Oleh yang demikian, menjadi suatu keyakinan kita bahawa maqam tertinggi dalam pendidikan ialah 'cinta'. Secara idealnya, pendidikan berperanan memelihara dan memandu fitrah manusiawi.

"Pendidikan seharusnya menjadi suatu proses 'memanusiakan manusia' dan antara esensi utama dalam diri manusia ialah kasih sayang dan cinta. Justeru, pendidikan bukan sekadar mengasah 'akal fikiran' semata, tapi juga mengasah 'akal budi' manusia.

"Persoalannya, bagaimana memanifestasikan pendidikan dalam kefungsiannya yang sebenarnya? Hal ini berbalik kepada guru dan pendidik sendiri. Pendidik adalah golongan yang mengemban tugas kepemimpinan. Pendidik ialah pemimpin dan guru ialah pemimpin bangsa ini," katanya.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menegaskan bahawa Malaysia mestilah dibangunkan dengan bukan sekadar menumpu kepada aspek lahiriah dan pembangunan fizikal, tetapi yang paling utama adalah pembinaan jati diri dan keterampilan warganya.

"Pembinaan jati diri dan keterampilan warga Malaysia akan mampu diteguhkan melalui pendidikan. Pendidikan ialah proses memanusiakan manusia, dengan pendidikan manusia memanifestasikan diri, membebaskan diri daripada belenggu kejahilan, menerapkan nilai dan prinsip manusiawi.

"Membangun interaksi dengan kasih sayang, menyubur kesedaran berbakti dan membangun bersama masyarakat madani," katanya.

Berita Harian X