Rabu, 15 Mei 2024 | 5:10pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Guru, murid sedia ke arah pendidikan digital - Pendidik

KUALA LUMPUR: Peralihan terhadap pendigitalan serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) memperlihatkan rata-rata warga pendidik bersedia ke arah pendidikan digital, yang telah diperkenalkan menerusi Dasar Pendidikan Digital oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tahun ini, KPM telah mengangkat tema 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI' sempena sambutan Hari Guru yang disambut oleh seluruh warga pendidik di negara ini, esok.

Dasar Pendidikan Digital (DPD) telah dilancarkan pada 28 November 2023 oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bertepatan dengan usaha kerajaan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing, membabitkan warga pendidik dan murid.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, Wan Azrina Muhamad Zuki, berkata beliau mendapati minat pelajar terhadap aktiviti digital kini semakin meningkat.

"Sekolah saya dilengkapi dengan peralatan digital yang canggih, termasuk papan pintar dan sistem audio-video untuk pengajaran hibrid," katanya kepada BERNAMA yang sudah berkhidmat sebagai guru sejak 2002.

Wan Azrin berkata, bimbingan kepada guru juga penting bagi memastikan semua warga pendidik dapat mengadaptasi teknologi ini.

Beliau berkata penyertaan pelajar dalam pertandingan digital juga semakin aktif, dengan sekolah itu sendiri telah menghantar lima penyertaan dalam pertandingan Imagine Junior Cup, yang dianjurkan Microsoft, yang menunjukkan keterlibatan dan kesungguhan pelajar dalam bidang digital, biarpun kemenangan bukanlah fokus utama.

Senada dengan pandangan itu, seorang bekas guru di SK Coronation Park, Ipoh, Perak, V Krishna Murthi, berkata era pendidikan kini semakin baik, jika hendak dibandingkan ketika beliau mula berkhidmat sebagai guru pada tahun 1989.

Beliau berkata, bahan bantuan pendidikan pada zaman itu juga sangat terhad, sehinggakan perlu bergantung kepada bahan bacaan seperti surat khabar.

"Kini, sesetengah sekolah telah dilengkapi dengan peralatan hibrid, bagi memudahkan para pelajar termasuk guru-guru mendapatkan akses terhadap ilmu pengetahuan dengan lebih jelas," katanya.

Krishna Murthi turut berkongsi pengalaman beliau menjadi guru pendidikan khas di sekolah tersebut, apabila jurang cabaran dalam mengajar pelajar biasa dan istimewa sangat besar.

"Pada 2006, saya mengajar pelajar bermasalah pembelajaran, pendekatan yang diaplikasikan juga sangat berbeza dengan pelajar biasa, yang mana hampir setiap hari saya belajar berkenaan emosi dan tingkah laku mereka, namun semuanya berbaloi kerana sentiasa mengutamakan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Sementara itu, pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad, turut menyokong inisiatif pendidikan digital oleh kerajaan, dengan menekankan bahawa golongan pendidik dan pelajar bukan sahaja perlu bersedia dengan ilmu, tetapi juga peralatan yang sesuai seperti hibrid.

Dr Anuar juga membandingkan dengan negara jiran seperti Singapura dan Vietnam yang telah jauh maju dalam pendidikan berteraskan AI, di mana guru bertindak lebih sebagai fasilitator berbanding pengajar tradisional.

"Di Singapura, pelajar dibekalkan dengan iPad di sekolah tanpa perlu mengeluarkan wang sendiri untuk memilikinya. Mereka sudah bergerak ke arah AI yang mana ia lebih jauh daripada sekadar pendigitalan.

"Pembelajaran di sana tidak sama dan suasananya lebih mirip kepada tempat kerja. Terdapat beberapa kaunter untuk pelajar menjalankan projek dan mereka akan membentangkan hasil projek tersebut kepada guru yang berperanan sebagai fasilitator. Ini sekali gus meningkatkan komunikasi pelajar kerana mereka kerap melakukan pembentangan," katanya.

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 akan diadakan pada 16 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan (SASICC), Pahang.– BERNAMA

Berita Harian X