Rabu, 15 Mei 2024 | 2:56pm
Datuk Suhaili Abdul Rahman
Datuk Suhaili Abdul Rahman

Sedia kosongkan kerusi jika diarah Speaker - Suhaili

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen BERSATU bersedia mengosongkan kerusi diwakilinya, hanya sekiranya perkara itu diarahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat atau mahkamah.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, ini kerana beliau menyifatkan hanya Yang Dipertua Dewan Rakyat atau mahkamah, mempunyai kuasa mengisytiharkan kerusi diwakilinya itu kosong.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang surat berhubung pengosongan kerusi diterimanya daripada mana-mana pihak.

"Kita tidak terima apa-apa keputusan Speaker....kalau Speaker kata kosong, kita bertanding balik namun sehingga kini, kita tidak terima apa-apa surat.

"Selagi Speaker atau mahkamah tidak memutuskan, kami akan kekal (sebagai Ahli Parlimen)," katanya kepada BH.

Baru-baru ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata, status enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen masih tidak berubah.

Johari dilaporkan berkata, keputusan muktamad mengenainya hanya akan dibuat jika pimpinan parti itu mengemukakan notis makluman berhubung perkara terbabit.

Pada masa sama, Suhaili berkata, sokongan dibuat beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Oktober lalu kekal dan tidak berubah.

Mengulas perkara yang sama, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata sehingga kini beliau berpendapat kedududukannya masih dalam status quo.

"Tiada apa yang hendak dikomenkan...masih dalam BERSATU, tiada surat apa-apapun, jadi status quo," katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, surat berkaitan status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang masing-masing menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor akan dihantar dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan berkata, surat berkenaan akan dihantar secara serentak kepada semua wakil rakyat berkenaan, sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu selesai.

Selain Suhaili dan Syed Abu Hafiz, empat lagi ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan seorang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari

Berita Harian X