Rabu, 15 Mei 2024 | 2:34pm

Selesai di luar mahkamah kes tuntutan penumpang cedera akibat tren LRT bertembung

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyelesaikan kes membabitkan penumpang wanita yang cedera parah akibat pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) tiga tahun lalu melalui penyelesaian di luar mahkamah.

Gesaan di buat bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang meminta kerajaan bersikap berperikemanusiaan terhadap mangsa, Florence Lee yang terpaksa menunggu sehingga 2028 untuk kes saman cuai dikemukakanya dibicarakan di mahkamah.

"Kerajaan MADANI digesa bersikap berperikemanusiaan dan menyelesaikan kes ini di luar mahkamah, bukannya menggunakan prosedur mahkamah yang akan mengambil beberapa tahun.

"Di samping itu, prosedur itu akan memaksa kerajaan menanggung kos besar, membazir masa Peguam Negara serta mahkamah.

"Ia bukan salah mangsa, sebaliknya beliau mangsa tragedi pengangkutan awam negara kita. Kecederaan dialaminya dari segi fizikal dan emosi amat serius, tambahan pula ia bukan berpunca daripada kecuaiannya sendiri,"katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Minggu lalu, hakim bagi pendengaran kes berkenaan, Shahrir Salleh menetapkan tarikh perbicaraan bermula 10 Januari 2028 dalam pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman difailkan Lee pada Disember tahun lalu menamakan pemilik sistem LRT, Prasarana Malaysia Bhd dan pengendalinya Rapid Rail Sdn Bhd sebagai defendan.

Lee, 57, mendakwa nahas itu disebabkan kecuaian defendan selain pelanggaran kewajipan statutori dalam Akta Keretapi 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Ka Siong berkata, penyelesaian di luar mahkamah lebih munasabah berikutan mangsa hanya meminta pampasan untuk kehilangan pendapatannya dan juga untuk membayar kos rawatan berjumlah RM113,524.08.

"Itu satu permintaan yang munasabah. Sudah cukup tiga tahun beliau menderita. Kerajaan hari ini tidak patut menyusahkannya dengan memaksa beliau menanggung kos perundangan sementara menunggu kes beliau dibawa ke mahkamah lagi empat tahun," katanya.

Justeru, beliau mengesyorkan, wakil kerajaan untuk segera berjumpa mangsa bagi menilai tuntutan dan memutuskan menyelesaikan kes terbabit di luar mahkamah dengan membayar pampasan sewajarnya.

Katanya, Prasarana Malaysia Berhad dan Rapid Rail Sdn Bhd adalah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan yang mana Kementerian Kewangan boleh mengambil tindakan proaktif untuk mencari penyelesaian terbaik dengan mangsa kejadian.

Untuk rekod, dalam penyataan pembelaan difailkan pada 19 Februari lalu, Rapid Rail dan Prasarana mengakui nahas itu berlaku dan mengesahkan Lee diselamatkan dan dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan pada hari kejadian.

Defendan bagaimanapun menafikan semua dakwaan kecuaian, liabiliti, kerugian dan kerosakan dialami Lee.

Kedua-dua defendan berkata, pihaknya mengambil langkah sewajarnya untuk membantu Lee dan penumpang lain yang terkesan termasuk menghubungi perkhidmatan ambulans dan memastikan mereka dipindahkan dari kereta api itu ke hospital untuk rawatan.

Peguam Lee, Joy Appukuttan berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 3 September.

Berita Harian X