Rabu, 15 Mei 2024 | 2:22pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi wawancara ‘In Conversation with the Prime Minister of Malaysia’ yang dikendalikan Ketua Koresponden Antarabangsa Bloomberg TV bagi Asia Tenggara, Haslinda Amin di Doha, Qatar, semalam. - BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi wawancara ‘In Conversation with the Prime Minister of Malaysia’ yang dikendalikan Ketua Koresponden Antarabangsa Bloomberg TV bagi Asia Tenggara, Haslinda Amin di Doha, Qatar, semalam. - BERNAMA

Subsidi bersasar tak akan 'hukum' orang miskin - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan dalam proses untuk melaksanakan pemberian subsidi minyak secara bersasar, namun memberi jaminan langkah itu nanti tidak akan sesekali menghukum golongan miskin.

Perdana Menteri berkata, langkah itu yang bertujuan mengurangkan tanggungan subsidi negara akan dimulakan dengan diesel, sebelum diikuti beberapa lagi produk bahan api lain.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan garis masa khusus mengenai pelaksanaan itu, sebaliknya menegaskan ia akan dilakukan apabila kerajaan sudah benar-benar bersedia.

"Rasionalisasi subsidi elektrik kepada golongan kaya dan industri sudah kita laksanakan, namun ia tidak membabitkan 85 peratus populasi dan kerajaan pastikan ia telus, adil dan tidak menghukum golongan miskin.

"Berapa banyak kita jimat, RM4 bilion dan untuk subdisi ayam kita jimat RM1 bilionm. Berilah kami masa, jangan paksa kami buat semua dalam masa setahun

"Kita akan lakukannya (rasionalisasi subsidi bahan api) apabila kita sudah bersedia sepenuhnya," katanya sesi temubual slot In Coverstion With Prime Minister of Malaysia' sempena Forum Ekonomi Doha 2024.

Wawancara itu dikendalikan Ketua Koresponden Antarabangsa Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan kerajaan perlu melihat kepada keutamaan sebelum rasionalisasi subsidi dilaksanakan yang mana tumpuan terlebih dahulu perlu diberikan kepada usaha mengurangkan ketirisan dan amalan rasuah.

"Kita perlu lihat keutamaan, yang mana kita perlu kurangkan ketirisan... kita boleh jimat berbilion dan kita sudah lakukannya dalam setahun pertama (pentadbiran Kerajaan Madani).

"Sekarang kita berlaih kepada bekalan elektrik dan subsidi ayam, dan kini kita akan pertimbang pula untuk diesel kerana banyak yang kita rugi akibat ketirisan.

"Bagaimana kita nak lakukannya dan laksanakan pembaharuan ini dengan memotong subsidi tanpa menghjukum golongan miskin, bagi saya itu adalah teras utama.

"Saya tak mahu disebabkan kita mewarisi hutang dan rasuah yang banyak, kita hukum pula golongan miskin," katanya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan dijangka melaksanakan program subsidi bersasar RON95 tahun ini, sebagai langkah mengoptimumkan sumbernya kepada golongan yang paling memerlukan.

Ia dilaksana selepas diesel, di mana projek rintis untuk menguji Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sudah dimulakan sejak 1 Februari lalu.

Mulai 8 Mac lalu pula, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setuju memperluaskan projek rintis di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 kepada sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.

Kenderaan itu membabitkan lori kargo am, lori minuman botol, lori ais, lori luton, lori tangki, lori tangki air, van panel dan van 'window'. SKDS 1.0 dilaksanakan sejak 2013 membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.

Berita Harian X