Rabu, 15 Mei 2024 | 1:35pm
Kampung LAT 1000, Perlis mengusahakan projek SMART SBB ala Sekinchan
Kampung LAT 1000, Perlis mengusahakan projek SMART SBB ala Sekinchan

SMART SBB tingkat pengeluaran, tambah pendapatan pesawah

PUTRAJAYA: Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) kini menjadi hala tuju baharu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu sistem pengurusan yang sistematik.

Tiga model utama diperkenal dan dilaksanakan menerusi program itu iaitu SMART SBB Model Padi Putih dan Padi Wangi; SMART SBB Model Asnaf yang diusahakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah dan SMART SBB Model Ala Sekinchan yang menggunakan teknologi pertanian yang diamalkan pesawah di Sekinchan, Selangor.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata matlamat utama program SMART SBB adalah untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi dan pendapatan pesawah.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood

Katanya, program itu tidak menggunakan sebarang peruntukan daripada kerajaan melainkan subsidi input pertanian sedia ada, berikutan pengeluaran modal dibuat sepenuhnya oleh syarikat-syarikat peneraju.

"Syarikat peneraju akan menyuntik modal maksimum sehingga RM3,500 per hektar sepanjang tempoh penanaman padi meliputi proses di peringkat awal seperti pembajakan dan pengapuran tanah sehingga kepada penggunaan input pertanian seperti baja dan racun tambahan seterusnya penggunaan jentera semasa proses tuaian," katanya.

Beliau berkata, sehingga Mei 2024, terdapat 10,585 pesawah membabitkan 35,357 hektar keluasan kawasan di 79 lokasi kecuali di Johor dan Melaka yang terbabit dengan program itu.

Katanya, purata hasil yang mampu diperoleh setiap pesawah menerusi program itu pula adalah antara lima sehingga enam tan per hektar dan membabitkan 14 syarikat peneraju aktif.

Beliau berkata, melalui SMART SBB, pesawah juga dapat mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi ketika penanaman padi.

"Pesawah yang menyertai Program SMART SBB juga dibekalkan teknologi pertanian terkini oleh syarikat peneraju melalui penggunaan jentanam dan jentuai, jadual penanaman yang tersusun serta pelbagai inovasi baharu yang mampu meningkatkan produktiviti sawah," katanya.

Azman berkata, program SMART SBB akan diperluaskan lagi ke beberapa lagi kawasan di seluruh negara dan usaha menggalakkan pesawah menyertai program berkenaan bergantung kepada kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan di sepanjang rantaian nilai industri, terutama golongan pesawah sebagai rakan kongsi utama kerajaan.

Pastikan maklumat tepat

Katanya, peranan jabatan dan agensi juga penting bagi memastikan maklumat yang tepat supaya program berkenaan sampai kepada pesawah.

"Pesawah juga perlu tahu bahawa program itu berupaya mengurangkan peranan orang tengah, mengurangkan kos penanaman yang ditanggung mereka, meningkatkan pendapatan, menjadikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif dan berdaya saing di sepanjang rantaian nilai melalui pelaburan swasta.

"Usaha ini sekali gus mengurangkan keperluan input pertanian bersubsidi secara berperingkat," katanya.

Katanya, bermula bulan hadapan, beberapa kawasan program SMART SBB Ala Sekinchan akan dirasmikan termasuklah di Bagan Serai, Perak; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Blok B, Seberang Perak, Perak dan Kota Belud, Sabah.

Katanya, bagi menggalakkan pesawah menyertai program SMART SBB dan mengamalkan amalan pertanian yang tepat dan terbaik, semestinya kelengkapan infrastruktur pengairan dan saliran diberikan tumpuan utama.

Justeru, kerajaan bakal memperluaskan sistem penggunaan air bawah tanah di jelapang padi seluruh negara sebagai persediaan menghadapi musim kemarau yang dijangka berlaku lebih serius tahun depan.

"Selain itu, kerajaan juga akan memperkenalkan varieti padi yang lebih tahan kemarau dan boleh dituai dalam tempoh 80 hari sahaja berbanding 105 hingga 110 hari ketika ini bagi membantu petani di negara ini meningkatkan hasil tanaman mereka," katanya.

Beliau berkata, sasaran penanaman benih padi bawah 80 hari dijangka bermula pada awal 2026 sebagai satu perubahan besar dalam industri.

Katanya, kementerian juga menyasarkan pengeluaran padi antara enam ke tujuh tan untuk kawasan tertentu.

"Menjelang 2030 pula sebanyak 80 peratus kadar sara diri (SSR) perlu dicapai namun yang demikian, sekiranya kaedah penanaman padi di sawah masih di takuk yang sama, agak sukar untuk sasaran itu direalisasikan," katanya.

Di Alor Setar, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yakin konsep SMART SBB yang dilaksanakan di kawasan Muda akan turut meminimumkan kebergantungan pesawah kepada 'orang tengah'.

Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli, berkata keadaan itu memberi lebih banyak manfaat kepada pesawah terutama dalam usaha kerajaan meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan golongan itu.

"Kita tak boleh terus nafikan peranan yang dimainkan orang tengah, tapi mungkin dapat diminimumkan dan manfaat itu dikembalikan kepada pesawah.

Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli bercakap kepada pemberita berkenaan kejayaan program SMART SBB pada temubual di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). - Foto NSTP/WAN NABIL NASIR
Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli bercakap kepada pemberita berkenaan kejayaan program SMART SBB pada temubual di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). - Foto NSTP/WAN NABIL NASIR

Contohnya, jika sebelum ini pengilang mampu menawar komisen sehingga RM100 bagi setiap satu tan hasil jualan padi, tetapi apabila model ini diperkenalkan ia dapat diagihkan sebahagiannya kemungkinan sehingga 50 peratus daripada jumlah itu kepada pesawah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat MADA, sini.

Kamarudin berkata, pengurusan secara SMART SBB juga lebih efektif berbanding kaedah konvensional yang dilakukan pesawah terutama yang memiliki tanah sawah kecil.

Pengurusan berpusat 

Katanya, pengurusan sawah secara berpusat yang diserahkan kepada peneraju atau syarikat akan menjimatkan kos pesawah selain memberi pulangan lebih lumayan.

"Sekiranya pesawah ini usaha dua hektar sawah, ia tidak ekonomi untuk mereka jadikan sebagai pendapatan tetap. Apabila syarikat yang uruskan contohnya, upah membajak jika dilakukan individu, modalnya tinggi tapi dengan SMART SBB, kos ini dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata MADA turut menyambut baik hasrat kerajaan melaksanakan program SMART SBB ala Sekinchan tahun lalu di kawasan Muda seluas 224 hektar.

Katanya, ia membabitkan satu lokasi di Perlis dan empat lokasi di Kedah.

"SMART SBB ala Sekinchan ini adalah sebahagian inisiatif MADA dalam menyokong agenda Gelombang Padi untuk melonjakkan agenda industri padi dan beras negara. Kaedah pengurusan secara berpusat dan pertanian kontrak ini didapati dapat meningkatkan hasil purata 5.5 tan sehektar kepada 6.5 tan sehektar.

"Pada tahun ini MADA bercadang untuk meneruskan program ini dengan menambah kawasan baharu seluas 100 hektar yang dijangka bermula musim satu 2024," katanya.

Di Pokok Sena, memilih pertanian berbanding menjadi jurutera, ternyata pilihan tepat bagi pesawah muda yang berjaya meraih pendapatan selesa selepas menyertai Projek SMART SBB.

Mohamad Farid Shafie, 38, yang juga Penyelia Projek SMART SBB di Kampung Gulau di sini, berkata projek itu berjaya meningkatkan tuaian peserta apabila model baharu ala Sekinchan diperkenal pada musim 2/2023 lalu.

Penyelia Projek SMART SBB ala Sekincan, Mohamad Farid Shafie, 38, menunjukkan sawah yang diusahakan di Kampung Gulau, Mukim Lesong, Pokok Sena. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Penyelia Projek SMART SBB ala Sekincan, Mohamad Farid Shafie, 38, menunjukkan sawah yang diusahakan di Kampung Gulau, Mukim Lesong, Pokok Sena. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Katanya, seramai 10 penduduk kampung yang menjadi peserta perintis projek itu, kini mampu tersenyum apabila hasil padi musim lalu meningkat dan memberi pulangan lebih baik serta menjimatkan kos.

"Kami usahakan projek SMART SBB ala Sekinchan ini di kawasan seluas 39 hektar, sebelum mengusahakan sawah dengan konsep ini, tuaian setiap musim secara purata adalah 5.5 tan sehektar tetapi selepas tuaian musim kedua 2023 pada Mac lalu, ia meningkat kepada 6.4 hektar.

"Menerusi projek ini, peserta perlu mengikut jadual tanaman bermula menyemai benih hingga ke peringkat meracun perlu diselaras, secara tidak langsung serangan penyakit dan serangga juga dapat dikawal daripada merebak," katanya yang mengusahakan sawah sejak 2013.

Graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini berkata, beliau bersyukur terpilih menyertai Projek SMART SBB kerana mendapat pelbagai bantuan dan tunjuk ajar daripada agensi kementerian seperti MADA.

Katanya, menerusi projek itu juga, beliau dapat menjadi petani lebih berdisiplin dan kerap turun ke sawah bagi memastikan hasil padi terus meningkat selepas ini.

Berita Harian X